Kecualikan yuran konservasi TTAR kepada pengunjung tempatan

KEPUTUSAN pihak Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) mengenai kadar kenaikan yuran konservasi bagi kawasan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) RM3 ke RM5 bagi pelancong tempatan dan daripada RM10 kepada RM20 bagi pelancong asing berkuat kuasa 1 Januari 2018 perlu dikaji semula.

Advertisement

Tujuan kenaikan ini dikatakan untuk mengawal jumlah kedatangan pelancong yang melebih kapasiti yang ditetapkan. Mengikut rekod yang dinyatakan, TTAR menerima kunjungan 475,807 pelancong sehingga Jun ini, dengan 309,738 daripadanya adalah pelancong asing sementara 166,069 pengunjung adalah warga tempatan.

Sekalipun ia satu usaha bagi menampung kos pengurusan yang tinggi, TTS disaran untuk tidak menjadikan kenaikan kos yuran sebagai satu-satunya kaedah penyelesaian bagi kawalan kehadiran pelancong dan pengurusan taman.

Dengan mengambil kira kos bebanan sara hidup yang dihadapi oleh rakyat tempatan pada hari ini dan pada masa yang sama bagi menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan Sabah, TTS disaran untuk memansuhkan yuran konservasi kepada pengunjung tempatan dan kenaikan hanya dikenakan kepada pelancong asing sahaja.

ZulzaimKami melihat langkah dan pendekatan kenaikan harga yuran ini memberi kesan buruk bagi jangka masa panjang dan industri pelancongan. Sabah perlu mengelakkan kenaikan harga yuran konservasi ini di mana semakin tahun meningkat, semata-mata untuk kawalan had pelancong.

Pihak kerajaan negeri perlu menyediakan satu peruntukan khas bagi menampung kos pengurusan yang dikatakan amat tinggi. Pendekatan kenaikan yuran seperti ini kebiasaannya diambil oleh pengusaha pelancongan pulau, namun ia menimbulkan kesan besar.

Tanpa disedari ia menjadikan pelancongan pulau lebih bersifat ‘pelancongan mewah’ di mana akhirnya, pengunjung tempatan tidak mempunyai kemampuan untuk melancong sekitar pulau dalam negara mereka apatah lagi dari kalangan rakyat Sabah sendiri.

“Menuju Sabah Sejahtera”

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah
27 Julai 2017 | 3 Zulkaedah 1438 – HARAKAHDAILY 27/7/2017