Isu lif Seri Perantau, dakwaan Umno tidak benar

SAYA amat bersyukur kerana masalah lif diambil serius oleh kerajaan Selangor. Hari ini pihak syarikat SIC telah memasang papan tanda projek yang bermula 10 Julai 2017 dalam 2 fasa dan dijangka siap sepenuhnya Januari 2019. Wakil penduduk teruja dengan pembuktian komitmen kerajaan negeri.

Advertisement

Sebelum ini saya terkejut membaca satu laporan yang tersiar di akhbar Sinar Harian berkenaan isu lif Seri Perantau. Dalam laporan tersebut Timbalan Ketua Bahagian Umno Kapar, Datuk Saroni Judi mendesak Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, YB Dato’ Iskandar Abdul Samad meletak jawatan kerana gagal menyelesaikan isu-isu di Flat Seri Perantau.

Saya melihat Umno cuba bermain politik dalam isu ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Mungkin Umno gusar dengan skim Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat begitu mesra dalam menyelesaikan isu rakyat.

Saya mewakili penduduk Sri Perantau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, khususnya kepada YB Dato’ Iskandar selaku exco berkaitan kerana telah meluluskan projek baikpulih sejumlah 24 unit lif di Seri Perantau melibatkan sejumlah peruntukan RM7 juta yang akan dijalankan secara 2 fasa.

Menurut laporan akhbar tersebut, KPKT telah meluluskan RM5 juta. Tetapi saya difahamkan untuk 12 unit sahaja. Kenapa kos ini hampir dua kali ganda berbanding dengan kos oleh Kerajaan Negeri?

Untuk makluman juga, pemilihan senarai pendek 24 unit lif telah dibuat pada bulan Feb 2017. Saya sendiri pernah turun padang bersama pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menerangkan tentang isu lif ini pada bulan Februari lepas.

LPHS sekali lagi turun padang pada Jun lepas bersama firma kompeten dan wakil komuniti penduduk untuk mengenalpasti kerosakan dan kerja selanjutnya.

Cukuplah BN mempolitikkan isu rakyat. Jangan tambah derita penduduk Sri Perantau dengan mengganggu proses bantuan kerajaan negeri. Bukankah masalah rumit dan  kompleks Pangsapuri Sri Perantau berpunca dengan dasar setinggan sifar BN yang separuh masak? – HARAKAHDAILY 29/7/2017

DrHalSK