Kepimpinan Rasulullah SAW berpandu kekuatan personaliti

KEPERIBADIAN Rasulullah SAW dengan nilai kepimpinan terbaik perlu dijadikan contoh masyarakat kini dalam mengharungi kehidupan yang lebih baik.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kedudukan dan jawatan bukan jaminan kepada pembinaan bangsa berjaya.
 
“Sejarah teori kepimpinan menjelaskan bahawa kepimpinan yang dicontohkan oleh Islam disebut sebagai ‘Prophetic Leadership’ melalui contoh teladan Baginda adalah model kepimpinan yang terbaik.

“Maka tidak hairanlah, dalam jangka waktu 23 tahun, Baginda dapat meluaskan pengaruh Islam kepada hampir sepertiga manusia di dunia.

“Faktor ini didorong kepimpinan Baginda dan menakluki hati pengikutnya dengan kekuatan rohani atau spritual bukan dengan tawaran jawatan, pangkat, harta dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, peribadi kepimpinan Baginda dilaksana berpandukan kepada kekuatan personaliti, hala tuju dan visi yang jelas untuk menikmati kejayaan.

Katanya, ia dibuktikan menerusi kajian tokoh moden, oleh John C Maxwell dalam bukunya, The 360 Degree Leader.

“Itulah sifat Prophetic Leader yang bukan hanya menenangkan posisi diri sebagai pemimpin tetapi juga menenangkan hati para pengikutnya,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Seminar Pemimpin Peradaban Dunia Islam, sempena penganjuran Karnival Kampungku Kesayanganku, peringkat Daerah Kuala Langat (3K).

Program perasmian diadakan di perkarangan Masjid Ar-Raudhah yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid.

Hadir sama, Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dr Anhar Opir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan dan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Haslin Hassan.

Program 3K dianjurkan melibatkan penyertaan semua agensi agama Islam Selangor dan jabatan di bawah portfolio agama turun ke akar umbi bagi menilai sendiri isu diketengahkan masyarakat tempatan.

Selain itu, program itu turut mensasarkan bagi menjadikan masjid sebagai pusat transformasi masyarakat dan memberi pemahaman kepada penduduk mengenai tugas mengimarahkan masjid bukan terletak di bahu ahli jawatankuasa masjid semata-mata.