Inilah kehebatan PAS

BILA bercakap tentang zaman pertembungan keras PAS-Umno, majoriti akan menuding jari dan menyalahkan PAS atas apa yang telah berlaku. Mereka terlupa bahawa di zaman itu pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah mangsa keadaan serta menjadi sasaran tekanan dan tindakan keras lagi zalim Umno yang merasakan diri mereka berkuasa.

Advertisement

Petugas pilihan raya PAS diserang, dipukul dan dicederakan sehingga mengakibatkan seorang terkorban semasa Pilihan raya Kecil Lubuk Merbau. As Syahid Ustaz Ibrahim Libya bersama murid-muridnya diserang oleh pasukan keselamatan bagaikan mereka adalah segerombolan pengganas dalam peristiwa Memali sehingga 14 orang terkorban. Ramai pemimpin PAS yang meringkuk dalam tahanan ISA.

Dr Azman1Diskriminasi kerana perbezaan politik berleluasa dan mereka yang berkuasa menindas yang lemah. Orang kampung yang menyokong PAS dinafikan pelbagai bantuan yang mereka berhak. Baja subsidi padi pun orang PAS tak dapat. Saya tahu sebab ayah saya seorang pesawah. Agihan bantuan seperti zakat dan JKM tak sampai kepada orang PAS sebab JKKK enggan tandatangan borang permohonan. Malah nak sign borang persekolahan anak-anak dengan JKKK juga menjadi satu masalah bagi ibu bapa yang menyokong PAS. Guru-guru yang dicop sebagai penyokong PAS ditukar ke sana ke mari bagaikan bola. Orang PAS di jabatan kerajaan dinafikan naik pangkat walau prestasi mereka jauh lebih baik dari orang Umno.

Media perdana milik Umno/BN menjadi juara politik fitnah dan kebencian yang penuh dengan putar belit. PAS pula tidak diberikan sebarang ruang untuk memberikan penjelasan balas. Ceramah PAS diganggu oleh pemuda tahan lasak Umno. Penceramah dibaling telur busuk, enjin motosikal dibunyikan dengan kuat, jalan untuk ke lokasi ceramah dihalang dan disekat. Pokok kayu diterbalikkan atas jalan menuju ke tempat ceramah. Jambatan dirosakkan serta penceramah diugut dengan kekerasan fizikal. Tak cukup dengan itu, gas pemedih mata dari FRU juga biasa menjadi habuan pengunjung ceramah PAS. Orang-orang lama di Besut masih ingat peristiwa gas pemedih mata ketika ceramah di Kampung Keluang, Besut.

Tindakan tak bertamadun pemuda tahan lasak Umno seperti merosakkan bendera dan poster pilihan raya PAS adalah perkara yang sedia dimaklumi semua.

Imam dan Ustaz-Ustaz PAS yang mengajar di surau-surau ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah. Sedangkan ketika itu adalah suatu yang mustahil bagi Imam atau Ustaz PAS nak dapat tauliah.

Memang lumrah alam, setiap tindakan keras juga akan mengundang reaksi keras walaupun ahli dan penyokong PAS berada di pihak yang lemah lalu menjadi mangsa. Inilah yang dilupakan oleh majoriti yang ghairah menuding jari menyalahkan PAS atas pertembungan keras yang telah berlaku.

Bila PAS yang selama ini menjadi mangsa penindasan dan kezaliman bersedia untuk melakukan anjakan dari politik penuh kebencian kepada politik matang dan sejahtera, ia menggambarkan jiwa besar yang dimiliki oleh pimpinan, ahli serta penyokong PAS. Kita dizalimi dan kita berlapang dada untuk memaafkan dan mengajak orang yang pernah menzalimi kita untuk bersama mencari kesejahteraan bersama Islam. Inilah kehebatan PAS!

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
31 Julai 2017 – HARAKAHDAILY 31/7/2017