Apa nasib pusat bebas cukai Pulau Bayas, Kenyir?

PELANCARAN Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di premis sementara di Pengkalan Gawi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tanggal 1 Ogos 2017 dilihat langkah terdesak Kerajaan Negeri Terengganu setelah berkali-kali membuat pengumuman untuk membuka operasi pusat bebas cukai itu. Janji baru untuk rakyat, Kompleks Bebas Cukai di Pulau Bayas akan dibuka tahun hadapan iaitu pada Ogos 2018.

Advertisement

HishamuddinDengan pelancaran itu bermakna Terengganu berjaya memiliki sebuah zon bebas cukai, tetapi masih banyak ketidakpastian dan kesamaran yang menuntut penjelasan telus daripada pihak kerajaan negeri. Agak menarik dengan premis sementara ini, para peniaga dan pengunjung dapat mengadakan penilaian pada aspek hasil jualan dan harga pembelian sama ada setara kekal atau berlaku peningkatan antara dua premis dan dua masa tersebut. Bagi pengusaha, perbandingan hasil jualan antara premis sementara selama setahun dan premis kekal akan dapat melihat perbezaan antara keduanya. Pelanggan juga dapat meninjau samada harga yang ditawarkan kekal antara dua premis tersebut ataupun tidak.

Pembangunan mega melibatkan wang rakyat serta penggunaan kawasan seluas 65,417 hektar di Pulau Bayas itu juga perlu diteliti terhadap manfaat pada setiap nilai yang dibelanjakan. Difahamkan perbelanjaan pembangunan mengikut pakej adalah seperti berikut:-

(a) Pakej 1, Bangunan Terminal Utama, Jeti Penumpang dan Jeti Servis dan kerja berkaitan di Kenyir Trade Centre Pulau Bayas dengan kos sebanyak RM75 juta (termasuk VO).

(b) Pakej 2, Membina dan menyiapkan Kompleks Membeli Belah dan kerja-kerja berkaitan  di Kenyir Trade Centre di Pulau Bayas dengan kos sebanyak RM62 juta (termasuk VO).

(c) Pakej 3, Membina dan menyiapkan Pencawang Elektrik, Sistem Agihan Bekalan Voltan  Tinggi & Rendah dan kerja berkaitan di Kenyir Trade Centre di Pulau Bayas dengan kos sebanyak RM8.9 juta.

(d) Pakej 4, Membina dan menyiapkan Jalan Servis, Laluan Pendaratan Bot, Hentian  Rehat, Buggy Station, Buggy Lay-By, Wakaf, Sistem Paip Air Retikulasi, Sistem Paip Air Kumbahan Dan Kerja-kerja Berkaitan di Kenyir Trade Centre Di Pulau Bayas dengan kos sebanyak RM23 juta (termasuk VO).

(e) Pakej 5, Membina dan menyiapkan Sistem Rawatan Air, Sistem Rawatan Kumbahan Dan Kerja-kerja Berkaitan di Kenyir Trade Centre Di Pulau Bayas dengan kos sebanyak RM23 juta (termasuk VO).

(f) Pakej 6, Membina dan menyiapkan Jalan Servis PPU TNB ke SSU Pulau Bayas, Tasik Kenyir dengan kos sebanyak RM11 juta.

Pakej 3 sebagai contoh, memiliki kemajuan kerja yang paling perlahan berbanding semua pakej yang lain di Pulau Bayas dan seolah-olah langsung tiada kemajuan semenjak awal tahun ini. Sedangkan pakej tersebut merupakan nadi bagi keseluruhan komponen di Pulau Bayas kerana ia bertanggungjawab membekalkan elektrik ke semua kemudahan yang ada dalam kawasan tersebut.

Manakala pembangunan di Pengkalan Gawi pula memiliki tiga pakej utama dengan perbelanjaan seperti berikut:

(a) Membina dan Menyiapkan Bilik Pentadbiran Dan Lain-lain kerja Berkaitan Di Kompleks Kastam Diraja Malaysia dengan kos sebanyak RM6.3 juta.

(b) Pembinaan Kuarters Perumahan Kastam dengan kos sebanyak RM20 juta.

(c) Merekabentuk, Membina dan Menyiapkan Marina Pengkalan Gawi dan Jambatan ke Pulau Poh di Tasik Kenyir dengan kos sebanyak RM330 juta.

Juga terdapat terdapat komponen sokongan di Pengkalan Gawi yang melibatkan kos seperti berikut:-

(a) Kerja-kerja Tanah Bagi Pembangunan Kuarters Perumahan Kastam Di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kos sebanyak RM2.38 juta.

(b) Membina dan Menyiapkan Pagar Persempadanan Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir dengan kos sebanyak RM1.39 juta.

(c) Bekalan elektrik ke Pulau Bayas daripada Kuala Ping dengan kos sebanyak RM31.9 juta.

Apakah benar, jumlah keseluruhan kos asal (termasuk jumlah Variation Order/VO) adalah sebanyak RM600 juta? Rakyat sememangnya tidak  mengetahui jumlah wang yang telah dibelanjakan buat masa ini. Melainkan pihak kerajaan negeri sedia untuk mendedahkannya kepada umum. Apatah lagi perkembangan projek di Pulau Bayas dilihat pada tahap amat mendukacitakan. Ini menimbulkan keraguan yang sangat menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan negeri. Isu ini pernah diketengahkan dalam kenyataan saya sebelum ini. Sila rujuk: http://buletinonline.net/v7/index.php/pembangunan-pusat-bebas-cukai-di-pulau-bayas-memperjudikan-wang-rakyat-terengganu/.

Selain perbelanjaan yang besar, kemajuan kerja juga melibatkan tuntutan Lanjutan Masa (Extension Of Time/EOT).  Lanjutan Masa melibatkan tempoh yang lama bagi kebanyakan projek. Dalam konteks pembinaan, kelewatan penyiapan projek bermaksud masa yang telah berlalu dan telah melepasi tempoh kontrak atau melepasi tarikh yang dipersetujui untuk menyiapkan projek. Kedua situasi ini, lazimnya menyebabkan kos kontrak akan meningkat. Soalnya, berapakah jumlah kos kontrak ini ditanggung pihak kerajaan? Sebagai contoh, tarikh untuk projek disiapkan pada 28 September  2013 tapi EOT yang diperolehi sehingga 2018. Apakah ini wajar?

Meskipun demikian, kami tetap menghargai jasa dan daya usaha para pegawai dari semua jabatan yang terlibat dalam menjayakan agenda pusat bebas cukai di Pulau Bayas ini.  Namun isu berkaitan operasi dan pengurusan kompleks tersebut dalam tempoh mendatang masih menjadi suatu persoalan yang amat besar. Dikhuatiri pendapatan yang bakal dijana hasil sewaan kiosk dan gerai tidak mampu menampung kos operasi kompleks bebas cukai tersebut yang akhirnya memerlukan suntikan dana yang berterusan dari pihak kerajaan yang pasti membebankan kantung kewangan negeri.

Jumlah gerai dan peniaga yang ditempatkan pada premis sementara yang dirasmikan pada hari ini adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah lot dan kiosk yang bakal wujud di premis kekal di Pulau Bayas kelak tidak mencerminkan pelan perniagaan yang ingin diperkenalkan oleh pihak kerajaan negeri sebagai tarikan pelancong ke destnasi ini.

Tambahan, jumlah pelancong yang disasarkan hanya sekitar 750,000 bagi tahun 2017. Tahun 2017 pula merupakan Tahun Melawat Terengganu adalah amat sedikit berbanding unjuran tahun 2015 yang menerima pengunjung sekitar 706,222 orang. Boleh jadi, janji bahawa operasi sepenuhnya pada Ogos 2018 hanyalah gula-gula menjelang PRU14, sedang aktiviti pembangunan kelihatan semakin merosot dan suram.

“Sejahtera Bersama Islam”

YB HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Adun Tepoh / Timbalan Ketua DPPNT – HARAKAHDAILY 2/8/2017