KM Melaka jangan emosi layan aduan rakyat

KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron tidak tidak perlu emosi dan melihat secara negatif terhadap kemusykilan penduduk yang ditimbulkan ekoran cadangan pembangunan pesisir pantai Umbai.

Advertisement

Menurut Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ahmad Bilal Rahuddin malangnya kemusykilan yang dibangkitkan penduduk disalahertikan sehingga dilabelkan sebagai bermain sentimen politik.

“Kami hanya mengajukan pertanyaan dan menjadi perantara kepada pihak yang terlibat terutama mengangkat suara warga nelayan dan penduduk di situ.

“Sebagai pemimpin tertinggi negeri, sepatutnya terbuka dan sentiasa bersedia menenangkan kegusaran dan kekaburan penduduk terhadap perkara tersebut, selain memberi pencerahan serta penerangan meyakinkan. Kerana mereka sedang menyaksikan perubahan atau aktiviti atau ‘simptom’ yang tampak secara nyata,” katanya kepada Harakahdaily.

Tegas beliau, penduduk sama sekali bukan anti pembangunan, tetapi berpendirian bahawa ia mestilah memberi manfaat kepada semua.

Selain itu, katanya, ia sewajibnya tidak menjejas atau mengorbankan keharmonian dan kelangsungan sosio-ekonomi, budaya dan tradisi penduduk yang telah menjadi sebahagian identiti dan keunikan negeri bersejarah ini.

“Juga terhadap kelestarian alam semulajadi yang andainya terganggu secara tidak wajar boleh mengundang kesan buruk lain. Di sana ada kedamaian alam dan ekosistem yang menjadi sumber rezeki penduduk dan perlu dipelihara. Ini lojik dan pengetahuan am yang tidak perlu dipolemikkan, kerana kita sedang mempertimbangkan kepentingan ramai.

“Kami turut mendokong Falsafah Pembangunan Negeri Melaka, tetapi tidak mahu ia hanya di atas kertas. Suara ‘semak dan imbang’ perlu agar pelaksanaannya tidak dicabuli. Kerana keraguan timbul apabila projek itu direkodkan masih tidak mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Juga adakah telah mendapat kelulusan Majlis Perancangan Fizikal Negara?”soalnya.

Kesediaan Idris Haron memberi penjelasan terhadap cadangan pembangunan sekitar persisiran Pantai Umbai amat-amat dialukan dan dihargai, namun katanya penjelasan itu nanti perlu disusuli dengan penyataan yang didokumenkan agar ia tidak dimungkiri, terjejas atau berubah oleh pelbagai faktor dan kepentingan.

Bahkan katanya juga supaya ia tidak sekadar menjadi cakap kosong dan janji manis untuk menyedapkan hati atau memanipulasikan penduduk.

“Penduduk hanya mahukan kepastian dan jaminan memandangkan perkara ini adalah mengenai kehidupan dan masa depan mereka. Ia sama sekali akan melibatkan penempatan, pekerjaan dan kesejahteraan yang telah dikecapi dari generasi ke generasi sejak sekian lama,”ujarnya.

Justeru katanya, Ketua Menteri juga perlu menjamin supaya hak rakyat tidak menjadi mangsa kecurangan oleh sebarang perancangan, kepentingan dan pertembungan yang berlaku di peringkat orang politik. – HARAKAHDAILY 2/8/2017