Lambaian Kaabah: Jemaah haji mengucap panjang

KETIKA menunggu di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Panji, penulis bertemu dengan rakan-rakan yang juga bakal haji. Ada tua, muda dan remaja.

Advertisement

Paling berusia lebih 80 tahun. Beliau ke Makkah bersama isteri dan anak lelakinya sebagai peneman. Paling dikagumi, dia memberitahu menunaikan haji kali kedua hasil membanting tenaga di sawah padi.

Biarpun sudah lanjut usia namun pakcik dari Bachok itu tetap bersemangat. Ketika rombongan haji hendak bertolak ke Padang Arafah, beliau masih gagah.

Namun ketika melontar tiga jumrah di Mina beliau hilang biar pun pada awalnya bersama anak lelakinya. Si anak puas mencari akhirnya ketika kembali ke khemah ayahnya sudah ada di situ.

Inilah hikmat yang ditemui ketika menunaikan haji. Lojik akal kadang-kadang tidak menjadi. Doa menjadi senjata mukmin.

Kita tinggal dahulu cerita aneh yang banyak ditemui di Makkah dan Madinah. Rombongan jemaah disertai penulis berlepas ke KLIA dari Kota Bharu pada jam 12 tengah malam.

Kemudian sampai di KLIA 40 minit kemudian. Kami ditempatkan di satu ruang di terminal berlepas sebelum bertolak ke Madinah.

Di situ jemaah haji dikumpulkan daripada tiga stesen. Ada rombongan dari Kuala Terengganu dan Kelana Jaya.

Jemaah makin bertambah. Tabung Haji menyediakan makanan dan minuman. Ketika itu sekali lagi jemaah haji dapat berkenalan dengan bakal haji lain yang datang dari Terengganu dan Kuala Lumpur.

Sambil menunggu ada jemaah haji yang sempat melelapkan mata. Keletihan kerana sejak petang sehingga awal pagi menunggu di kompleks haji dan terminal airport.

Di situ juga petugas Haji mengagihkan pasport kepada setiap jemaah. Pasport dicap tanpa melalui kaunter Imigresn seperti lazimnya. Disampaikan juga taklimat apa yang sepatutnya dibuat ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz.

Kira-kira jam 3 pagi detik yang ditunggu tiba. Jemaah haji dipecah kepada dua barisan untuk memasuki perut pesawat Airbus A380.

Satu kumpulan jemaah haji menaiki bahagian atas pesawat, manakala satu lagi ditempatkan di tingkat bawah.

Pertama kali penulis dan rakan-rakan jemaah haji menaiki pesawat yang terbesar di dunia ketika ini. Pesawat itu milik Malaysia Airlines.

Orang kampung sebut macam rumah besar. Selepas mencari kerusi berdasarkan nombor yang tertera di tiket, jemaah haji dibantu krew Malaysia Airlines untuk mengisi beg di ruang bagasi pesawat.

Beg warna kuning yang dibekalkan Tabung Haji disusun padat diruang tersebut. Pramugari juga sibuk membantu jemaah haji.

Pramugari yang bertugas berbeza dengan pesawat komersial lain milik Malaysia Airlines. Mereka bertudung cantik dan tiada aurat terlodeh seperti yang sering diperkatakan sebelum ini.

Jemaah haji juga sempat menyaksikan demontrasi keselamatan ketika penerbangan. Krew mengajar kaedah menggunakan peralatan disediakan sekiranya berlaku kecemasan.

Jemaah haji juga memastikan tali pinggang mereka dipasang. Pesawat mulai bergerak perlahan-lahan ke landasan. Enjin pesawat kemudian semakin nyaring.

Sejurus kemudian pesawat macam rumah itu meluncur ke udara. Penerbangan meninggalkan bumi semenanjung. Jejak laluan pesawat boleh dilihat di skrin di hadapan kerusi. Lengkap dengan data kelajuan dan ketinggian pesawat.

Ada ketikanya pesawat besar itu bergegar ketika berada di ruang udara Lautan Hindu dan benua India.

Ramai jemaah haji mengucap panjang. Paling terasa bagi jemaah haji yang berada di bahagian belakang pesawat. – HARAKAHDAILY 2/8/2017