Pemimpin PKR diberi ruang khidmat di Kelantan

KERAJAAN Kelantan mengamalkan sikap terbuka terhadap 56 lantikan politik daripada PKR bagi memberi ruang kepada mereka untuk terus berkhidmat.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ia merupakan pendirian kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

Menurutnya, PAS tidak mencampuri keputusan PKR Pusat yang mengarah individu terlibat meletak jawatan sehingga 31 Julai lalu.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang surat perletakan jawatan daripada mana-mana peringkat, tidak ada.

“Kami bersikap terbuka dan seperti juga kenyataan Menteri Besar sebelum ini, kita beri ruang untuk mereka terus memegang jawatan,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustapa baru-baru ini dilaporkan berkata, lantikan politik di Kelantan belum melepaskan jawatan masing-masing.

Menurutnya, berikutan itu wujud percanggahan terhadap arahan yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PAS sebelum ini memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR berikutan beberapa isu yang berlaku, namun meneruskan konsep taawun. – HARAKAHDAILY 2/8/2017