Pengiktirafan Audit Negara satu cabaran

KERAJAAN negeri menyifatkan pengiktirafan Jabatan Audit Negara terhadap Kelantan sebagai satu cabaran bagi mengekalkan rekod pada tahun-tahun akan datang.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, penghargaan tersebut merupakan satu cabaran kepada kerajaan negeri.

Katanya, ia juga merupakan hasil daripada dasar dan pendekatan kerajaan negeri yang melaksanakan ketelusan dalam pentadbiran berasaskan Islam.

“Ini juga adalah hasil daripada usaha bersama penjawat awam sehingga kita berjaya mencapai tahap sekarang,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim.

Laporan terbaru Jabatan Audit Negara memberi markah 99 peratus Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Prestasi itu mendahului negeri-negeri lain termasuk Selangor (96.20 peratus), Pulau Pinang (96.16 peratus), Terengganu (94.50 peratus), Johor (91.30 peratus) dan Kedah (90.01 peratus).

Laporan Audit Negara 2016 juga mendapati pencapaian pengurusan kewangan bagi 12 jabatan dan agensi negeri di Kelantan cemerlang.

Manakala lima jabatan dan agensi mendapat penarafan pada tahap baik. – HARAKAHDAILY 2/8/2017