Pelancaran Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir hanya gimik?

ky7

PELANCARAN Jualan Bebas Cukai di Tasik Kenyir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 1 Ogos lalu hanya mengabui pemikiran rakyat dan gimik pilihan raya semata-mata.

Advertisement

Pengarah Plihan Raya Dewan Muslimat negeri, Shamsiah Abu Bakar berkata, rakyat yang percaya bahawa Kompleks Bebas Cukai Kenyir telah beroperasi sebenarnya telah terpedaya dengan propaganda Umno dan Barisan Nasional.

Hakikatnya kata beliau, kompleks tersebut masih belum siap dan tergendala dari rancangan asal pembinaannya.

“Pelancaran zon bebas cukai yang kononnya dibuka MB itu bukanlah jualan yang dibuat pada kompleks bebas cukai tersebut kerana kompleks itu sebenarnya belum siap lagi.

“Jualan yang diuar-uarkan oleh media massa sebenarnya hanya dalam empat buah khemah (booth) yang dirikan sementara di Pengkalan Gawi,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Lawatan Berinformasi Dewan Muslimat PAS Terengganu ke Tasik Kenyir, semalam.

Katanya, bukan sahaja projek bebas cukai itu terbengkalai bahkan hampir semua projek pembangunan pelancongan Tasik Kenyir sama ada tidak siap, rosak atau belum siap.

“Rakyat rasa tertipu apabila melihat sendiri Pulau Zon Bebas Cukai yang masih terbengkalai serta pembaziran penggunaan wang rakyat oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional melalui projek yang dilaksanakan tanpa kajian yang terperinci,” jelasnya.

Menurut beliau, selama ini perkhabaran itu hanya didengar melalui ceramah dan program penerangan yang dianjurkan PAS.

“Hasil dari lawatan hari ini makin ‘terasa’ betapa kerajaan yang ada langsung tidak merasa bersalah dengan melaksanakan projek ratusan juta yang terbengkalai dan terbiar sebegitu,” ujarnya

Justeru itu, beliau berikrar akan terus mendedahkan penyelewengan dan salah urus yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN kepada rakyat negeri itu.

“Kami akan terus memberi penerangan kepada masyarakat agar mereka sedar dan sama-sama merasa bertanggungjawab menghentikan kezaliman serta pembaziran ke atas wang rakyat Terengganu ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pengundi pada pilihan raya umum akan datang membuat perubahan dengan memberi mandat kepada PAS untuk mentadbir negeri itu.

 ky6

ky5