Petikan Kuliah Jumaat Ayah Chik: Ulama, tok guru, ustaz perangai seperti Yahudi

Firman Allah SWT:

Advertisement

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

(Jalan yang lurus) ialah jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. [Al-Fatihah:7]

Para ulama berpendapat bahawa ayat ‘orang-orang yang dimurkai Allah’ adalah ditujukan kepada orang-orang Yahudi. Mereka dimurkai kerana mengetahui kebenaran melalui kitab-kitab yang diturunkan sebelum itu, tetapi mereka menyembunyikan kebenaran tersebut.

Para ulama menyatakan,
العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
“Pengajaran diambil dari lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.”

Imam Ghazali dalam kitab Ihya’ nya menyatakan bahawa orang-orang yang dimurkai Allah itu termasuklah kalangan ulama su’ (jahat), ulama dunia (yang mengejar dunia sahaja). Ulama-ulama, tok-tok guru dan ustaz-ustaz yang menyesatkan orang semata-mata untuk tujuan dunia sahaja, lupa akan hari akhirat.

Allah menerangkan sifat golongan yang dimurkai di dalam firmanNya:

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. [Al-Baqarah:79]

Ulama di kalangan Yahudi telah meminda kandungan kitab Taurat dengan berbagai cara. Antara menulis kitab dengan tangan sendiri, kemudian mendakwa ianya daripada Allah. Tujuannya supaya mendapat habuan dunia daripada pemerintah pada waktu itu.

Antara yang dipinda adalah tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW. Juga meminda hukuman qisas dan hudud. Apabila ramai yang melakukan jenayah itu dari kalangan pembesar, mereka ubah hukuman qisas dan hudud kepada hukuman yang ringan.

Apa kurangnya orang Islam di zaman kita. Meminda undang-undang Islam melalui parlimen, melalui dewan rakyat dengan meneruskan undang-undang warisan penjajah. Denda sedikit, penjara sekejap sahaja. Padahal dalam undang-undang Islam sudah ada hukuman hudud dan taazir.

Maka mereka yang mengundi ahli dewan rakyat, atau dewan negeri yang meluluskan undang-undang sebegini, akan turut menerima padahnya.

Masjid Rusila
11 Zulkaedah 1438 / 4 Ogos 2017