PAS Pahang tawar lot tapak rumah, pulih tanah terbiar

DUA daripada 12 tawaran PAS Pahang kepada rakyat yang diumumkan oleh pimpinan PAS dalam satu majlis di Kuantan baru-baru ini, menunjukkan PAS serius untuk memerintah Pahang selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 jika diberi mandat.

Advertisement

Malah bukan sahaja serius, tetapi juga bersedia menjadi kerajaan berkebajikan dan mesra rakyat. Sekali gus tidak terjebak dengan politik adu domba dan sekadar laungan retorik semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam majlis minum petang bersama wartawan mengakui “PAS bersedia memerintah Pahang”.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu pula dalam majlis berkenaan menyebut komitmen PAS ialah ‘mengagihkan tanah lot rumah berukuran 30 x 50 kaki persegi kepada rakyat yang layak’.

Tawaran kedua ialah ‘membangunkan semula tanah-tanah terbiar untuk kegunaan belia-belia Pahang dan Felda’.

Seperti disedari umum, masalah tanah dan penempatan merupakan isu kritikal yang sebahagiannya gagal ditangani oleh kerajaan yang ada.

Bayangkan sebuah keluarga yang pada asalnya berada di atas seekar tanah, apabila berkembang biak kepada generasi kedua dan ketiga tapak untuk membina kediaman sudah begitu sempit dan kesukaran ini ditambah lagi dengan nilai hartanah yang melambung di pasaran. Ini sudah tentu memeritkan bagi anggota keluarga yang agak kurang bernasib baik.

Jadi di situlah relevannya tawaran PAS di mana sekiranya PAS diberi mandat mentadbir kerajaan negeri Pahang maka perhatian difokuskan kepada menyelesaikan permasalahan utama ini iaitu keperluan tapak rumah kepada rakyat khususnya golongan muda yang tidak berumah dan bertanah.

Tawaran kedua pula ialah berkait dengan pemilikan tanah dan kerjaya.

Sebagai negeri yang paling luas di Semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memartabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.