Zon bebas cukai tidak seperti digembar gembur

cukai1

PUSAT jualan sementara Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan kerana ia hanyalah hanya empat buah premis, umpama expo biasa.

Advertisement

Di samping itu, harga barangan yang dijual kononnya bebas cukai cukai itu, tidaklah murah.

Bendahari Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Che Faridah Ismail berkata, ternyata ianya tidak seperti yang ditayangkan di kaca televisyen, lapor Buletin Online.

“Saya yakin rakyat di luar sana menyangkakan jualan yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 1 Ogos baru-baru ini adalah di tapak Kompleks Zon Bebas Cukai yang sedang dibina di Pulau Bayas.

“Namun ternyata ianya tidak benar dan tindakan (pelancaran) tersebut dibuat seolah-olah cuba untuk mengaburi mata rakyat daripada fakta yang sebenarnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelancaran premis jualan sementara Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir selepas meninjau sendiri lokasi tersebut di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir kelmarin.

Tambahnya, pembinaan Kompleks Bebas Cukai yang dibina di Pulau Bayas akan menjadi projek yang tidak berdaya maju.

“Bangunan kompleks yang masih tidak siap yang memakan belanja hampir mencecah RM600 juta di pulau dalam tasik buatan yang tidak boleh dimasuki oleh mana-mana kapal dari luar, ia bakal menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ kerajaan Umno dan Barisan Nasional di Terengganu,” tegas beliau.

Mengulas perkara yang sama, Ketua Muslimat PAS negeri, Zarani Othman berkata, pelancaran zon bebas cukai itu memperlihatkan bahawa kerajaan sangat terdesak untuk menjawab pelbagai soalan ekoran kemarahan rakyat.

“Duit habis (banyak) tapi projek tak nampak lagi sebagaimana projek gah Taman Ilmu di Tembila, Besut.

“Projek Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir yang dimulakan tahun 2011 dan dikatakan akan siap pada tahun 2014 sehingga kini masih lagi tidak siap,” ujarnya.

Justeru, kata beliau, lawatan berinfomasi anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media Dewan Muslimat PAS negeri ke Tasik Kenyir membenarkan apa yang menjadi sungutan rakyat negeri itu.