Kita bawa politik damai penuh kasih sayang

“KITA terima kasih banyak-banyak. Orang PAS memang pemurah termasuk pemurah untuk derma darah. Hadir buat program kempen derma darah di mana-mana event anjuran PAS memang tak pernah mengecewakan. Kita tak kisah, ke mana dijemput kita pergi sebab kita buat kerja. Bukan kita nak berpolitik dengan darah,” komen yang diberikan oleh seorang kakitangan Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu yang hadir menyertai kempen derma darah sempena Karnival Dun Jabi.

Advertisement

“Alhamdulillah… saya tengok semua darah yang didermakan warna merah. Tak ada yang colour hijau,” jawab saya sambil bergurau.

Warna darah sama merah adalah bukti bahawa secara fitrahnya kita semua sama. Walau ada perbezaan, manusia tetap mempunyai titik pertemuan dan persamaan. Mungkin kita ada berbeza pendapat, sikap dan pendirian atas sesuatu perkara, tapi kita boleh bersama atas nama Islam. Islam boleh menyatukan kita. Kerana itu PAS mengajak mari bersama kita mencari kesejahteraan bersama Islam.

Karnival Dun Jabi yang berlangsung selama 3 hari 3 malam bermula 2-5 Ogos 2017 disasarkan untuk menjadi medan bertemu mata dan menghubungkan silaturrahim bagi masyarakat Jabi dari segenap lapisan masyarakat.

Kita terjemahkan budaya politik matang dan sejahtera dengan penganjuran satu program kemasyarakatan bersepadu di bawah satu bumbung karnival di mana di sini ada lontaran ilmu dengan Program Bicara Ilmu oleh Kiyai Dr Haji Ahmad Najib Afandi dari Pesantren al-Hikmah Jawa Tengah. Diteruskan lagi dengan program santai tapi sarat dengan ilmu oleh Ustaz Azhar Idrus dalam Program Santai Petang yang menyaksikan Dataran PGU Jabi dipenuhi oleh ribuan pengunjung.

Saya sangat menghargai kerjasama Jabatan Kerajaan seperti JPJ, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah dan SPR yang sudi hadir memberikan khidmat. Juga kepada Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (Papisma).

Pentas Karnival Dun Jabi juga dibuka sebagai medan  pengajian ilmu politik dengan penampilan pimpinan utama parti antaranya Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Haji Hussain Awang dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyampaikan ceramah. Kita sediakan pentas untuk masyarakat mendapat maklumat dan penjelasan langsung dari pimpinan parti dengan harapan ada kekeliruan yang dapat dirungkai.

Tak terkecuali acara kanak-kanak, muslimat, pemuda serta acara santai sukan rakyat. Islam tak melarang kita berhibur.

Lebih 50 gerai jualan dengan pelbagai produk dan barangan disediakan. Peminat seni hiburan Islam juga tak dihampakan.

Saya melihat kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan lapisan masyarakat ke program anjuran PAS adalah signal bahawa tembok yang memisahkan PAS dengan masyarakat sudah semakin menipis. Jurang pemisah sudah semakin mengecil. PAS sudah berjaya membawa budaya politik damai penuh kasih sayang dalam masyarakat walau cuba dibayangi dengan politik persepsi penuh prasangka dari lawan-lawan politik.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah MTD Jabi merangkap AJK PAS Pusat  

jabi1                     jabi2

jabi3