PAS yakin tawan kembali Dun Salor

BERDASAR gerak kerja dan kekuatan jentera PAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor, parti itu yakin mampu mengambil semula kerusi Salor yang dilarikan wakil rakyatnya.

Advertisement

Lebih-lebih lagi berdasar cula dan info jentera pilihanraya Dun, ahli Parti Amanah Negara (PAN) di Salor hanya sekitar 500 orang.

Sedangkan majoriti dimenangi PAS di Dun Salor pada pilihan raya umum lepas  ialah 3,683 undi mengatasi Datuk Mohd Noordin Awang dari BN.

Penyelia Dun Salor, Ibrahim Isa berkata berpandu perkembangan itu PAS Dun Salor mampu mengembalikan maruah pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

“Kekuatan dan kesepaduan PAS di sini sekarang sudah jauh berubah berbanding ketika peringkat awal perpecahan PAS dua tahun lepas.

“Tugas kita berdepan dengan Umno dan BN biarpun PAN boleh mengurangkan undi kita,” katanya di Kota Bharu.

Beliau juga berkata, walau pun PAN dilihat kuat kerana memiliki sebuah bangunan, namun penyokong PAS mulai mempertikai hasil titik peluh diseleweng kepada parti lain.  

Pada PRU lepas Datuk Husam Musa menang di Dun Salor atas tiket PAS. – HARAKAHDAILY 8/8/2017