Sistem sokongan dalam Islam

KETIKA Abdullah Ibnu Ummu Maktum seorang sahabat yang buta mendapat pengesahan dari baginda Rasul Allah SAW betapa beliau perlu mengutamakan solat Jemaah sebaik mendengar azan, apakah yang dilakukan oleh para sahabat R.A secara bersama? Hal inilah yang akan saya ketengahkan dalam penulisan ini bagaimana Islam telah sempurna mengenengahkan prinsip-prinsip dalam proses pengupayaan OKU.

Advertisement

Sahabat baginda Rasul Allah SAW amat memahami akan permintaan Abdullah Ibnu Ummu Maktum untuk keringanan dari solat Jemaah. Jarak rumah Abdullah Ummu Maktum dan gangguan perjalanan telah menyulitkan Abdullah Ibnu Ummu Maktum untuk berulang alik, solat Jemaah di masjid.

Para sahabat sebaik mengetahui tuntutan solat berjemaah yang tetap dipertanggungjawabkan kepada seorang yang buta, lalu mereka mengusahakan suatu yang akan memudahkan Abdullah ibnu Ummu Maktum. Dibuatkan satu ikatan tali yang boleh dijadikan panduan oleh Abdullah Ibnu Ummu Maktum dari rumahnya hingga ke masjid.

Apa yang dilakukan oleh para sahabat itulah dikenali sebagai sistem sokongan pada hari ini. Prinsip asasnya ialah Islam tetap tidak mengasingkan golongan manusia meskipun ia seorang OKU.

Bagi memastikan pembentukan masyarakat inklusif ini berlaku dan tiadanya pengasingan golongan tertentu, Islam memberi ajar betapa sistem sokongan itu suatu keperluan yang tidak boleh dikompromi.

Apa yang telah saya kemukakan di atas hanyalah sebahagian kecil contoh yang ditunjukkan oleh Baginda Rasul Allah SAW dan para sahabat dalam kerangka mengupayakan OKU. Apa yang ditunjukkan adalah prinsip-prinsip yang perlu dibina dalam masyarakat  sesuai dengan keperluan dan potensi yang diciptakan Allah SWT.

Jika masyarakat moden hari ini baru sahaja mengiktiraf keberadaan OKU itu dari sudut hak dan keperluan, Islam telah terlebih awal mengiktiraf apa yang diperakui dunia hari ini. Justeru, bila prinsip-prinsip masyarakat iklusif ini diperjuang dan diketengahkan oleh golongan-golongan tertentu, seharusnya ia telah menjadi keutamaan kepada setiap umat Islam.

Mempersiapkan sistem sokongan dalam masyarakat bagi manfaat setiap segmen masyarakat adalah amal-amal yang tercetus daripada pelbagai nilai-nilai kesejahteraan dan berkebajikan yang sangat ditekankan di dalam Islam. Dengan kesediaan masyarakat mengadakan sistem sokongan yang sesuai, ia akan mampu melahirkan suasana saling pergantungan antara individu-individu dalam masyarakat.

Demikianlah Islam tidak hanya meletakkan OKU itu sebagai subjek-subjek kebajikan atau subsidi yang hanya ada pada hari-hari tertentu. Begitu pula Islam tidak hanya meraikan OKU itu pada sambutan-sambutan khusus agar dikatakan tiadanya pengasingan dan peminggiran.

Nilai-nilai kesejahteraan inilah yang menjadikan Islam sangat mudah diterima oleh golongan dhaif dan kumpulan mustada’fin sewaktu perkembangan awalnya di kota Mekah. Bahkan golongan inilah yang diberi jolokan “As-Sabiqun” yang diberi keutamaan sebagai golongan yang dekat kepada Allah yang digelar kelompok “Muqarabun”.

Nah para pembaca sekalian, seharusnya bagi setiap umat Islam telah ada suatu rasa kebertanggungjawaban bagi memastikan setiap individu di keliling kita tidak akan terasa terpinggir. Penilaian kita sebagai umat Islam kepada golongan OKU yang zahirnya dilihat lemah dan tidak berupaya haruslah disesuaikan dengan ketetapan yang telah digariskan di dalam Islam.

Dalam pada itu, saya tidaklah menyangkal apabila ada yang berpendapat suasana itu sangat asing pada hari ini. Individu-individu OKU lebih dilihat dari sudut pandang kecacatan yang ada sekaligus menjadikan ia dilihat lemah dan tidak berupaya.

Bahkan itulah hakikat yang berlaku hari ini. Golongan OKU lebih terserlah sebagai penerima bantuan dan hanya menjadi subjek kebajikan. Inilah antara cabaran yang perlu didepani oleh komuniti OKU bahkan ia menjadi halangan yang perlu dihapuskan oleh masyarakat secara bersama dan kolektif.

Bagi menjayakan ketetapan dari nilai-nilai kesejahteraan dan berkebajikan di dalam Islam inilah suatu anjakan yang lebih menyeluruh diperlukan. Islam perlu dibawa ke tengah-tengah masyarakat bersama-sama nilai kesejagatan dan berkebajikan yang telah tersedia ada. Islam tidak boleh diberikan dari sudut juzuk-juzuk yang tertentu sahaja hinggakan Islam tidak dirasai sebagai suatu penyelesaian kepada keseluruhan persoalan kehidupan. – HARAKAHDAILY 8/7/2017