Lambaian Kaabah: Keluar hotel bahang panas begitu terasa

SEHINGGA sekarang lebih separuh daripada 30,200 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Penerbangan pertama berlepas ke Madinah pada 24 Julai lepas.

Advertisement

Malah kumpulan pertama jemaah dari Madinah dilaporkan sudah memasuki Makkah 1 Ogos lepas. Jumlah keseluruhan 110 penerbangan ke Arab Saudi musim haji tahun ini.

Sebanyak 29 penerbangan terus ke Madinah, manakala selebihnya mendarat di Jeddah. Tahun lepas penerbangan membawa penulis dan jemaah tiba di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz kira-kira jam 8 pagi.

Sebaik turun dari pesawat ramai bergegas mencari tandas. Terutamanya bagi jemaah yang sudah lanjut usia.

Ketika berada dalam pesawat ramai yang berulang alik ke tandas. Penerbangan mengambil masa sehingga sembilan jam dari KLIA tentunya merimaskan, ramai juga yang lenguh badan.

Namun semuanya itu hilang seketika setelah jemaah melafaz laabaikallah. Terbayang Kaabah berada di hadapan mata.

Petugas Tabung Haji yang sedia menunggu mengumpulkan jemaah yang baru tiba di satu sudut terminal. Taklimat sekali lagi disampaikan.

Jemaah haji perlu melekatkan bar kod di passport masing-masing. Bar kod tersebut akan digunakan ketika membeli sim kad telefon ketika di hotel.

Kawasan terminal ketibaan bertambah sendat dengan kehadiran jemaah haji dari seluruh dunia termasuk juga Indonesia.

Kami beratur panjang melewati kaunter Imigresen Arab Saudi. Pakaian seragamnya berjubah putih lengkap dengan igal dan serban warna merah di kepala.

Berbeza berbanding suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah. Jemaah haji terpaksa melalui kaunter Imigresen yang lebih lama.

Pengalaman dilalui penulis ketika menunaikan umrah dua tahun lepas membuktikan hakikat itu.

Petugas Imigresn di Jeddah keluar masuk kaunter biarpun jemaah umrah beratur panjang. Setiap pelawat yang datang dirakam gambar menggunakan kamera digital. Kemudian perlu diimbas pula ibu jari.

Alhamdulillah suasana di Madinah situasi begitu berbeza. Betullah kata orang, penduduk Madinah lebih bersopan dan tidak kasar perilaku mereka.

Selepas melalui kaunter Imigresen jemaah haji terpaksa berjalan agak jauh untuk ke ruang menunggu bas. Bagi yang berusia terpaksa menggunakan kerusi roda.

Selepas agak lama menunggu barulah bas yang akan membawa jemaah ke hotel tiba. Kami diarah menaiki bas berdasar kepada nombor yang diberi lebih awal.

Bas menunggu di parkir di bawah pancaran terik matahari. Bahang panas sudah membahang memandangkan waktu hampir waktu Zohor. Pekerja pula sibuk memuatkan beg jemaah haji ke atas bumbung bas.

Bertimbun beg kelihatan. Kemudian dipasang jaring bagi mengelakkan beg jatuh ketika bas bergerak. Ada jemaah haji yang tertukar bas dan terpaksa turun semula, memandangkan ketika itu ada berpuluh bas.

Ketika kami sampai berhampiran hotel, orang ramai keluar dari Masjid Nabawi, menunaikan solat Zohor. Kelihatan macam lebah keluar dari sarang.

Begitu ramai dan sendat sekali semua laluan dari pintu pagar masjid.

Ketika di hotel kami diagihkan bilik hotel, tempat menginap sepanjang lapan hari di Madinah. Ada bilik yang boleh memuatkan lima, enam dan lapan jemaah.

Penulis ditempatkan di bilik bersama rakan-rakan dari Kota Bharu, Tumpat,  Ketereh, Bachok dan Besut. Pada detik itu kami berkenalan lebih rapat lagi.

Bermula Asar kami menjejaki Masjid Nabawi. Menjadi kebiasaan jemaah bergerak secara berkumpulan ke masjid.

Ketika keluar dari hotel bahang panas petang di Madinah begitu terasa. Wap panas membahang ke muka. Jarak hotel dengan masjid hanya kira-kira 100 meter.

Bermula hari pertama sehingga saat akhir meninggalkan Madinah, kami berulang-alik ke masjid setiap waktu solat. Kedudukan masjid yang tidak jauh membolehkan jemaah berulang alik tanpa risau.

Bagaimanapun bagi mereka yang mahu solat di ruang dalam masjid terpaksa datang lebih awal sebelum azan dilaungkan. Lebih-lebih lagi mahu solat di ruang Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah SAW.

Penulis dan rakan ada ketikanya datang ke masjid jam 3 pagi. Ketika itu kita boleh solat di ruang Raudhah. Namun menjelang waktu Subuh hampir jam 5 pagi ruang itu sesak dengan manusia.

Ramai yang bertolak-tolak hendak masuk. Raudhah dikenali sebagai taman syurga. Sepanjang berada di Madinah juga kami dibawa melawat Masjid Quba’, Bukit Uhud, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain yang mempunyai dua mihrab dan pasar kurma.

Lawatan itu dikendalikan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Islam Madinah. Manakala di sekitar Masjid Nabawi jemaah dibawa melawat makam Rasulullah SAW dan tanah perkuburan Baqi.

Itulah rutin di Madinah sehingga rombongan kami bertolak ke Makkah bagi menunaikan umrah dan menanti detik wukuf di Padang Arafah. – HARAKAHDAILY 9/8/2017

Madinah 1

Madinah 3