Orang yang dia lawan, suatu hari jadi kawan

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak melampau dalam sebarang perselisihan pendapat dan perbalahan.

Advertisement

Malah, katanya terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menggesa agar menolong orang kena zalim dan orang yang melakukan kezaliman.

“Oleh sebab itu, bermusuh dengan orang berpada-pada. Sebab itu, kita disuruh buat baik kepada orang sama ada orang baik, orang jahat.

“Nabi SAW kata, tolonglah saudaramu yang buat zalim dan yang kena zalim. Maka seorang laki-laki berkata: wahai Rasulullah tolong orang kena zalim kami faham tapi menolong orang berbuat zalim, bagaimana?

“Rasulullah menjawab menghalangi atau mencegahnya dari kezaliman, begitulah cara menolongnya.

“Halang orang yang buat zalim itu, makna tolong orang yang buat zalim. Tolong selamatkan dia supaya dia bertaubat dan balik ke pangkal jalan. Itu cara menolongnya,” jelasnya ketika menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat buat kali kedua di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Sebelum ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berehat dari sebarang aktiviti ceramah sejak lebih dua bulan selepas menjalani pembedahan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurut Tuan Guru lagi, apa yang berlaku hari ini melalui perbalahan dalam akhbar, televisyen dan facebook melampaui batas.

“Apa yang berlaku dalam dunia hari ini, dalam surat khabar, dalam televisyen, dalam facebook…berbalah terlajak sehingga hendak marah kepada orang ‘terkam’ habis-habis.

“Dia tidak tahu suatu hari nanti akan berubah. Orang yang dia kasih, sayang, suatu hari jadi lawan dan orang yang dia lawan, suatu hari jadi kawan. Ini dunia berubah, kita kena faham.

“Beri nasihat dan cakap dengan baik. Bergaul dengan orang dengan percakapan yang baik, jangan kasar,” ujarnya.

Beliau turut merujuk kepada suatu ungkapan kata-kata yang menepati kehendak al-Quran.

“Hadis Nabi dan ada ulama berpendapat ini kata-kata Saidina Ali r.a tetapi maknanya menepati al-Quran.

“Maksudnya, kasihlah kepada orang yang kamu kasih dengan kadar yang berpatutan, boleh jadi suatu hari dia buat perkara yang tidak molek. Marah kepada orang jangan terlajak, kena ada batas, boleh jadi suatu hari dia jadi orang yang kamu kasih kepada dia. Dengan sebab itu, berbalah dengan orang jangan terlajak,” tegasnya.

Menurutnya, pendekatan kasih sayang dan berhemah itu merupakan perintah Allah SWT kepada para nabi dalam berdakwah kepada kaum masing-masing. – HARAKAHDAILY 11/8/2017