Pindaan Akta 164: Ucapan MP Kota Bharu

taki3

SAYA ucap terima kasih kepada kerana diberi peluang untuk membahaskan pindaan Akta Rang Undang-undang 164 ini dan saya akan cuba menghabiskan dalam masa yang diberikan.

Advertisement

Pertamanya, saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Dewan yang mulia ini berhubung dengan asal usul ataupun sejarah sedikit mengenai wujudnya Akta 164 ataupun Law Reform (Marriage and Divorce) Act 1976. Saya berdasarkan kepada Hansard dalam Parlimen ini, di mana pada 4 November 1975, Akta 164 ini telah dibaca bagi kali yang kedua dan ketiga dan telah diluluskan pada tahun 1976.

Akta 164 ini Tuan Yang di-Pertua, adalah dibuat hasil daripada recommendation ataupun pengesyoran suatu Royal Commission on Non-Muslim Marriage And Divorce Law yang telah dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya pada masa itu, Tan Sri Ong Hok Tai.

Itu pada tahun 1970 ditubuhkan, recommendation dibawa oleh kerajaan pada masa itu, hanya di bawah ke Parlimen pada tahun 1975 dan diluluskan hanya pada tahun 1976. Rekod juga menunjukkan Tuan Yang di-Pertua, bahawa Akta 164 ini walaupun diluluskan dalam tahun 1976 tetapi hanya telah digazetkan untuk di-enforce atau kuat kuasa pada tahun 1982. Maknanya, enam tahun selepas daripada itu.

Poin saya di sini, Tuan Yang di-Pertua, isu berkaitan dengan Akta 164 ini adalah satu isu yang rumit. Ia memerlukan satu Royal Commission, kemudian dibahaskan. Saya mempunyai rekod Hansard Parlimen. Ia dibahaskan antaranya oleh Ahli Parlimen pada masa itu Allahyarham Syed Jaafar Albar yang banyak memberikan pandangan kepada kerajaan pada masa itu bahawa undang-undang ini adalah satu undang-undang yang rumit kerana ia melibatkan kepentingan antara agama. Orang Islam ada kepentingannya, orang bukan Islam pun ada kepentingannya. Oleh sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya daripada pihak parti saya…

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: [Bangun]

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Sekejap ya, Yang Berhormat. Saya lebih cenderung pada hari ini untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan, mungkin lebih kurang sama dengan Yang Berhormat Ipoh Barat tetapi alasannya berbeza, supaya rang undang-undang ini ditangguhkan oleh pihak kerajaan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk sama-sama kita bincang perkara ini. Ada wakil bukan Islam, ada wakil Islam dan kami bersedia untuk memberikan sumbangan ini, kerana sebagaimana Yang Berhormat Beruas kata tadi dan juga Yang Berhormat Shah Alam kata, isu agama pun ada, isu sosial pun ada. Semua hendak kepada keharmonian di dalam peruntukan ini. Oleh sebab itu, pada asasnya, saya mencadangkan supaya ditangguhkan perkara ini untuk dibincangkan dalam satu jawatankuasa yang boleh dibincangkan dan difikirkan bersama. Itu perkara yang pertama, yang asas pada perbincangan saya. Sila Yang Berhormat Beruas.

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Terima kasih. Bagi saya, undang-undang ini perlu dipercepatkan kerana sudah ditangguh bertahun-tahun, sungguhpun kalau boleh kita tadi cadangkan seksyen 88A dapat ditambah supaya menyelesaikan masalah.

Dengan hormatnya kepada Yang Berhormat Kota Bharu, sebenarnya undang-undang ini, kalau tidak silap saya, dulu susah untuk dilaksanakan kerana pada masa tersebut, orang-orang bukan Islam, mengikut undang-undang, dibenarkan berpoligami sehinggakan banyak kes yang kita baca, orang-orang cina kaya yang ada kahwin sampai tujuh. Jadi, begitulah masyarakat pada masa itu berpoligami. Jadi banyak isu-isu kalau hendak jadi monogami, akibatnya banyak. Sebab itu diperhalusi sebelum diluluskan.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Ya, terima kasih.

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Jadi, sebab itulah dan bukan lain-lain yang kita sekarang hendak selesaikan perkara ini yang sudah berlanjutan bertahun-tahun. Kita tidak boleh bertangguh-tangguhlah.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Ya, Yang Berhormat setuju dengan sayalah untuk tangguh? Kita tangguh untuk bincang termasuk 88A pun tidak mengapalah.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Yang Berhormat Kota Bharu, sikit.

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Kita boleh bawa pindaan yang lain-lain, boleh.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Saya masa berjalan. Ada masa 10 minit lagi.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ada dua yang bangun. Yang Berhormat Rompin dan Yang Berhormat Bukit Katil.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Kalau dua, terpaksa saya kena terus dulu. Saya begini.

Dato’ Sri Hasan bin Arifin [Rompin]: Yang Berhormat Kota Bharu.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Minta maaf, Yang Berhormat Rompin. Saya tidak cukup masa. Kalau sekiranya cadangan saya supaya kerajaan menangguhkan perbahasan ini kepada satu tarikh lain dan menubuhkan jawatankuasa tidak diterima ataupun tidak dipertimbangkan, saya hendak highlight-kan bahawa— sebagai seorang peguam— mungkin rang undang-undang ini bercanggah dengan banyak undang-undang yang sedang ada dalam negara kita ini. Saya bagi satu contoh ya. Di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2003, di dalam seksyen 46(2) dengan jelas mengatakan bahawa, saya baca… [Membaca Petikan]
“Jika salah satu pihak kepada satu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh mahkamah.”

Maksud mahkamah di sini ialah mahkamah syariah. Jadi kalau seksyen 51 dibahas dan diluluskan, ia bercanggah dengan akta Kerajaan Persekutuan sendiri. Ini perlu diteliti dulu. Kalau boleh, buat consequential amendment bersama-sama. Itu pun tidak apa sudah. Itu yang pertama, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.

Kedua, saya hendak highlight-kan peruntukan dalam cadangan pindaan ini juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 121(1A) di mana dengan jelas menyatakan bahawa bidang kuasa mahkamah syariah untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan orang-orang Islam. Saya baca. [Membaca petikan]
“The courts referred to in clause (1) shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of Syariah courts.”

Apabila seorang bukan Islam masuk Islam, his personal law or her personal law is syariah law. Dia tertakluk mengikut Perkara 121(1A). Jadi, pindaan ini juga bercanggah dengan Perkara 121(1A).

Ketiga, ia juga jelas, sebagaimana dibahaskan oleh rakan saya daripada Ipoh Barat tadi, Perkara 12(4). Sama ada kita bersetuju atau tidak, inilah kedudukannya di mana di dalam Perlembagaan ini menyebutkan bahawa— saya baca dua-dua. Dalam bahasa Inggeris…[Membaca petikan]
“For the purpose of Clause (3) the religion of a person under the age of 18 years shall be decided by his parent or guardian.”

Saya baca bahasa Melayu, dalam softcopy. Saya tidak ada hardcopy. [Membaca petikan]
“Bagi maksud fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Oleh sebab itulah di dalam kes yang diputuskan oleh Federal Court iaitu kes Subashini Rajasinggam versus Saravanan Thangatoray and others, Mahkamah Persekutuan, Federal Court telah memutuskan bahawa the translation atau interpretation of Perkara 12(4) iaitu guardian, disebut sini… [Membaca petikan]
“Either husband or wife has the right to convert a child of marriage to Islam. The word ‘parent’ in Article 12(4) of the Federal Constitution which states that the religion of a person under the age of 18 shall be decided by his parents or guardian, means a single parent.”

Ini keputusan yang mengikat kita pada hari ini, yang berhubung dengan tafsiran Perkara 12(4).

Jadi oleh sebab itulah, sekali lagi saya kata, kerajaan perlu tangguh pembentangan rang undang-undang ini. We form a committee consist of everyone yang ada kepentingan, stakeholders, kerana kita hendak mencari satu solution. Kami bukan mempertahankan hak orang Islam sahaja. Kita memikirkan juga hak orang bukan Islam. Akan tetapi without the committee, kita tidak boleh mengadakan perbahasan sebagai contohnya.

Tuan Yang di-Pertua, kalaulah— ini kalaulah juga. Tadi tangguh pun tidak boleh, kemudian terima inconsistency antara bill ini dengan undang-undang lain tidak diterima, saya hendak mencadangkan supaya kalau hendak diteruskan juga cadangan ini, perlu dibuat satu pindaan dan saya mencadangkan supaya di dalam Akta 164 ini, kerajaan menubuhkan satu badan yang dinamakan apa sahaja, mungkin mediation centre ataupun satu tribunal yang berkonsepkan mediasi supaya apabila satu-satu kes sama ada telah dibawa ke mahkamah ataupun sebelum dibawa ke mahkamah, pergi kepada mediation centre ini untuk pihak-pihak menyelesaikan masalah dan di sinilah berlakunya keharmonian. Kalau di mahkamah, mungkin dikatakan bias, sebagaimana Yang Berhormat Ipoh Barat sebut tadi. Mungkin bias dan sebagainya. Kita tidak boleh terima atau paling kurang – akan tetapi kalau ada arbitration, arbitrator, mediation, mungkin masalah-masalah ini dapat diselesaikan. Jadi dengan kata-kata itu…

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: [Bangun]

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Ya, sila Yang Berhormat Bukit Katil.

Tuan Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin [Bukit Katil]: Terima kasih Yang Berhormat Kota Bharu. Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik dengan pandangan mediation ini kerana mediation ini adalah cadangan daripada beberapa persatuan peguam syarie yang bimbang tentang kedudukan mahkamah syariah sesuai dengan pindaan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Cuma, ada juga pandangan lewat kebelakangan ini yang mengajak kita untuk membuat satu inovasi iaitu dalam kes-kes begini, hakim-hakim mahkamah sivil hendaklah diberikan kebenaran untuk bersidang bersama-sama dengan seorang hakim syarie. Apa pandangan Yang Berhormat Kota Bharu? Terima kasih.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Terima kasih Yang Berhormat Bukit Katil. Itu satu lagi pandangan yang cukup baik. Untuk mediation ini, Tuan Yang di-Pertua, ini bukan satu perkara yang luar biasa. Di mahkamah-mahkamah sivil sekarang ini, dalam kes pertikaian kes-kes sivil, ada kebanyakan hakim-hakim menasihatkan pihak-pihak ini supaya pergi kepada mediation. Satu benda yang boleh dibuat.

Jadi atas sebab inilah, atas kepentingan semua pihak rakyat Malaysia kita, saya terus mencadangkan lagi bahawa mediation ini dijadikan satu konsep untuk …

Dato’ Sri Hasan bin Arifin [Rompin]: [Bangun]

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Menyelesaikan masalah kerana Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya hendak juga beritahu rekod juga menunjukkan bahawa cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja ‘Onn’ tadi itu sebenarnya juga tidak dipersetujui oleh agama-agama lain contohnya agama Sikh, agama Buddha dan juga Kristian Katolik, tidak bersetuju dengan itu. Oleh sebab itu dia mengambil masa yang lama. This is a record yang ada.

Dato’ Sri Hasan bin Arifin [Rompin]: Tuan Yang di-Pertua.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Ya.

Dato’ Sri Hasan bin Arifin [Rompin]: Tuan Yang di-Pertua, saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Kota Bharu berhubung dua perkara. Malah di dalam Dewan yang mulia ini, saya pernah membangkitkan soal menubuhkan tribunal keluarga bila ada kes yang melibatkan kedua pihak. Akan tetapi, setujukah Yang Berhormat Kota Bharu bahawa untuk ketika ini untuk meredakan keadaan dalam negara kita, seksyen ini sudah cukup meredakan dalam keadaan kini memberi ruang kepada semua pihak, orang Islam dan bukan Islam untuk menyelesaikan sementara waktu – meredakan keadaan sebelum kita menubuhkan jawatankuasa yang lebih besar? Saya setuju satu jawatankuasa ditubuhkan kemudian nanti untuk melihat lebih dalam perundangan yang melibatkan berlainan agama ini.

Dato’ Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu]: Terima kasih, Yang Berhormat Rompin. Tuan Yang di-Pertua, saya berpandangan dengan rendah diri bahawa pindaan yang berada di hadapan kita sekarang ini belum dapat menyelesaikan masalah. Banyak lagi perkara yang akan pergi ke mahkamah dan akan dibuat pelbagai tafsiran dan sebagainya dan semua perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah. Saya stick kepada pandangan saya untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Terima kasih.

Ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan semasa membahaskan Rang Undang-undang Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2017. Sumber: Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat