Pindaan Akta 164: Ucapan MP Kuala Nerus

takiri1

TERIMA kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya cuma hendak menyambung apa yang dibahaskan oleh Yang Berhormat Kota Bharu sebentar tadi tentang mediasi yang kita cadangkan sebagai satu konsep penyelesaian yang patut dimasukkan ke dalam akta, bukan berada di luar akta.

Advertisement

Hal ini kerana pertama sekali bila kita bincang isu berkaitan dengan perkahwinan, Islam dia ada kaedah. Kaedahnya ialah dalam bab perkahwinan dan penceraian [Berucap dalam bahasa Arab] “Jika berlaku penceraian sama ada kemudian ada ruang untuk rujuk kembali, pegang semula perempuan dengan cara yang baik atau lepas dengan cara yang baik”. Ertinya Islam mengajar kepada kita segala perkara diuruskan dengan cara yang baik.

Maka selagi mana kita hanya berpegang kepada undang-undang semata-mata, sedangkan tidak ada satu ruang untuk diberikan ruang untuk kita berbincang dan juga berunding, maka ia tidak akan menyelesaikan masalah. Kita yakin kita adalah manusia, manusia ada jiwa dan juga perasaan yang dapat kita lunakkan dengan bicara yang cantik, lunak dan lembut, maka apa yang keras dapat kita selesaikan kerana itulah bagi kami di peringkat PAS menyatakan bahawa tribunal ini suatu yang sangat penting, tribunal mediasi.

Kalau kita ambil kaedah al-Quran sekali pun menyebut [Membaca sepotong ayat alQuran], “Hantar seorang wakil daripada keluarga laki-laki dan satu wakil dari keluarga perempuan”, [Membaca sepotong ayat al-Quran] “Sekiranya mereka berdua mahukan suatu yang baik, pasti Allah berikan taufik”. Ertinya ,ayat-ayat al-Quran mengajar kepada kita konsep mediasi ini. Perbincangan ini perlu menjadi satu konsep yang boleh menyelesaikan banyak masalah. Itu yang pertama.

Kedua, kalau kita pergi lebih lanjut pada cadangan-cadangan pindaan kita ini, seperti mana kita tegaskan tadi bahawa apa yang hendak kita cadangkan ini tidak menyelesaikan permasalahan, kita ambil sebagai contoh, cadangan untuk pindaan 51A melibatkan harta – 51(3), “Bagi maksud seksyen ini, “pihak berkepentingan” atau “pihak-pihak yang berkepentingan” ertinya pasangan yang menakat dan anak-anak yang menakat daripada sesuatu perkahwinan, jika ada, dan ibu bapa pasangan yang telah menukar agama yang telah meninggal dunia”.

Isu ini melibatkan harta dan bila melibatkan harta bagi seorang yang telah mati sekiranya dia adalah Muslim, dia terikat kepada undang-undang Islam dan undang-undang itu dibicarakan di Mahkamah Syariah. Sekiranya tidak dirujuk kepada hukum syarak perkara ini, maka ia melibatkan hak orang Islam yang mesti dibahas dan diberikan hak.

Oleh kerana itulah saya lihat bahawa cadangan akta ini tidak dapat menyelesaikan masalah. Perlu kembali kepada kita kena bincang balik dan kita lihat secara bersama beberapa lagi undang-undang yang patut kita baca secara bersama. Kalau kami ingin mencadangkan sebagai contoh di sini kita kena masuk peruntukan bahawa bukan hanya merujuk kepada pihak berkepentingan biasa yang disebutkan tadi tetapi juga pihak berkepentingan menurut hukum syarak kerana hukum syarak mesti dirujuk di kala mana melibatkan seorang Muslim kerana itulah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Kemudian, perkara yang perlu kita bangkitkan juga dalam isu ini ialah isu kalau dilihat di belakang undang-undang kita ini, nombor lapan, undang-undang ini bersifat undur ke belakang memberi kesan kepada kes-kes yang sebelum ini. Bagi saya, dia akan menimbulkan banyak lagi permasalahan. Banyak benda akan dirungkai lagi perkara yang telah diputuskan dirungkai balik.

Maka perkara-perkara inilah bagi kita agak mencelarukan maka saya sangat menyokong untuk akta ini ditarik balik dan ditangguhkan hingga kita buat suatu jawatankuasa bersama, membincang secara harmoni, lebih detil, digabungkan dengan semua undang-undang di peringkat sivil, di peringkat enakmen negeri dan sebagainya, dirujuk kepada pihak-pihak yang berkaitan, Raja-raja dan sebagainya.

Itu adalah pandangan kami yang kami rasa sangat konsisten. Itu sahaja.

Ucapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semasa membahaskan Rang Undang-undang Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2017. Sumber: Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat