PAS Permatang Pauh mahu letak calon pembela Islam

SOAL pegangan kepercayaan atau akidah dan hak penjagaan anak adalah antara perkara kritikal implikasi daripada pindaan RUU Perkahwinan dan Perceraian atau Akta 164 yang diluluskan oleh Sidang Dewan Rakyat beberapa hari lalu.

Advertisement

Mahkamah Sivil mempunyai kuasa terhadap perkara itu mengatasi Mahkamah Syariah, sekali gus meletakkan autoriti perbicaraan kekeluargaan Islam boleh dicabar lantaran daripada si bapa atau ibu memeluk agama Islam.

Berikutan itulah harus disedari rakyat negara ini, khususnya para pengundi untuk tidak memilih secara sebarangan calon wakil rakyat Parlimen atau Dun atas peranan legislatif dalam penggubalan undang-undang seperti dalam isu Akta 164.

Wajib bagi pengundi Islam khususnya memilih calon yang akan menjadi pembela Islam dan PAS Kawasan Permatang Pauh secara khusus menawarkannya pada pilihan raya nanti agar ia memikul tujuan selaras ayat 58 surah an-Nisa’.

“Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaiknya padamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat.”

Apatah lagi setelah disaksikan sikap tidak boleh dipercayai kalangan Ahli-Ahli Parlimen Islam dari Umno dan Pakatan Harapan saat Parlimen memerlukan suara mereka untuk menjadi benteng terakhir mempertahankan agama.

Sikap berbeza ditunjukkan 13 Ahli Parlimen PAS diketuai Datuk Takiyuddin Hassan yang teguh mempertahankan keutuhan institusi Islam. Walaupun berjumlah sedikit, tetapi teguh dengan prinsip dasar dan menjulang tinggi kalimah Allah.

IR AHMAD RAFAIE DATO’ IR A. RASHID
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh
12 Ogos 2017 | 19 Zulkaedah 1438 – HARAKAHDAILY 12/8/2017