PAS Terengganu sedia ‘rehatkan’ Umno

PAS Terengganu telah bersedia memberi ‘rehat’ yang panjang kepada pemimpin Umno khususnya kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Advertisement

Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri, Dr Alias Razak berkata, beberapa langkah telah dirancang bagi persediaan mengambil alih pentadbiran Wisma Darul Iman selepas PRU14, lapor Buletin Online.

“Andainya kita diberi mandat memerintah oleh rakyat, kita telah bersedia dengan segala perancangan untuk menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan BN di sepanjang pemerintahannya.

“PAS Terengganu telah memuat naik perancangan dalam manifestonya bagi menghadapi PRU14 nanti. Sebenarnya banyak lagi perancangan yang kita ada, bukan hanya sekadar seperti mana yang tersenarai dalam manifesto.

“Itu hanyalah sebagai iklan iaitu perkara yang lebih penting kita dahulukan dan segala perancangan yang lain kita akan laksanakan sepanjang kita mentadbir nanti,” jelasnya ketika merasmikan program Jelajah Saidatina Aisyah (Perjelas) 3.0 di Kompleks Tarbiyah At Taqwa (Komtaq), Kuala Nerus, semalam.

Menurutnya, pengumuman yang dibuat itu hanya menyebut sebahagian sahaja daripada manifesto PAS, antaranya penyelesaian kepada masalah pengangguran golongan muda.

Katanya, seramai 18,000 lepasan pusat pengajian tinggi dan pusat kemahiran yang menganggur, mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sumber Manusia.

Oleh itu, katanya rancangan PAS ialah untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun.

Adun Bukit Tunggal itu amat yakin semua perancangan itu dapat dilaksanakan dalam situasi negeri itu yang kaya dengan bahan mentah dan galian.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terutamanya anggota Muslimat PAS agar menggerakkan usaha memberi penjelasan tentang manifesto PAS kepada seluruh rakyat Terengganu.

lajah1