32 tahun tragedi Memali: SSD perlu disegerakan

SEHARIAN ini alam siber berdecak dengan isu Memali ekoran daripada keganasan yang tercetus di program Tun Mahathir, Nothing to hide di Shah Alam petang 13 Ogos. Soalan berkaitan tragedi Memali dikatakan permulaan detik huru hara dalam program mantan Perdana Menteri yang kini mengetuai blok Pakatan Harapan, sehingga Tun diselamatkan oleh petugas keselamatan.

Advertisement

Tragedi Memali yang telah terpahat selama 32 tahun adalah mercu tanda kezaliman BN di zaman pemerintahan Tun Mahathir, segalanya sangat rahsia seperti membuka kotak pandora yang malu. Generasi muda yang kritis membuncah rasa ingin tahu apakah sebab kematian sebenar empat orang anggota keselamatan yang terlibat dan apakah yang dimaksudkan SOP pihak keselamatan oleh Tun, yang menyebabkan 14 orang rakyat menjadi korban tragedi ini.

Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al-Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang.

Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini.

Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada. – HARAKAHDAILY 14/8/2017

(Penulis ialah Pengerusi Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

* SSD – Suruhanjaya Siasatan Diraja

Tulian penuh boleh dibaca dalam Harakah cetak bilangan 2273