RUU 164: Ini kebimbangan Persatuan Peguam Muslim

MINGGU lepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

Advertisement

RUU penuh kontroversi ini pada asalnya sangat ditentang oleh orang Islam kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak.

Penulis mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana pihak kerajaan menarik balik RUU tersebut setelah mendapat bantahan pelbagai pihak.

Dikatakan asas penarikan balik ini adalah kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan bercanggah dengan kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah tertinggi dalam negara khususnya berkaitan dengan hak pemelukan Islam anak di bawah 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya.

ZainulRNamun sehari selepas ditarik balik kerajaan mengumumkan pula untuk membentang RUU baharu yang tidak memasukkan isu pemelukan Islam tersebut ke dalam Akta 164.

Peliknya menteri berkenaan tergesa-gesa memberi arahan supaya RUU ini dibaca dan diselesaikan dengan segera dalam sidang kali ini juga.

Penulis berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana mengeluarkan seksyen 88A berkaitan pemelukan Islam anak di bawah umur itu dalam RUU baharu ini.

Perbahasan dimulakan dengan wakil DAP yang mempertikai tindakan kerajaan menggugurkan seksyen 88A tersebut dengan pelbagai alasan. Seksyen 88A ini memperuntuk jika salah seorang ibu atau bapa bagi anak di bawah 18 tahun memeluk agama Islam, kedua ibu bapanya mestilah bersetuju dengan pengislaman tersebut.

Namun kita mesti akur bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntuk salah seorang ibu atau bapa atau penjaga sahaja yang perlu bersetuju dan Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan sebegitu oleh mahkamah tertinggi negara dalam kes Subahsini lawan (lwn) Saravanan.

Bagaimanakah suatu undang-undang boleh dibuat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Untuk ini penulis bersetuju dengan tindakan Kerajaan mengeluarkan seksyen 88A ini.

Bagaimanapun oleh kerana pembentangan ini dibuat tergesa-gesa beberapa perkara mungkin terlepas pandang oleh pihak berwajib. Pindaan ini cuba menyelesaikan isu di mana mualaf yang tidak dibenarkan memfailkan pembubaran perkahwinan boleh berbuat demikian selepas pindaan ini diwartakan. Tetapi yang peliknya apabila hak ini diberikan kepada mualaf tiada pula pindaan bersaling kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah –Wilayah Persekutuan) 2003 dalam seksyen 46(2) yang memperuntuk mualaf boleh memfailkan pembubaran perkahwinan sivilnya di Mahkamah Syariah.

Penulis boleh bersetuju setakat mualaf dibenarkan mendaftar pembubaran perkahwinan mereka tetapi isu-isu lain mestilah mengikut undang-undang diri mualaf tersebut iaitu hukum syarak.

BAKAL MENIMBULKAN KONTROVERSI

Dalam hal ini wujud polemik yang lebih besar berkaitan pertindanan bidang kuasa kedua-dua mahkamah. Apa akan jadi jika Akta Undang-Undang Keluarga Islam 2003 tidak dipinda? Bagaimana pula keadaannya jika negeri-negeri tidak meminda Enakmen Keluarga Islam mereka masing-masing? Tidakkah keadaan ini akan terus menimbulkan kontroversi?

* Sepatutnya pihak kerajaan berunding terlebih dahulu dengan negeri-negeri dan mendapatkan persetujuan negeri bagi memansuhkan Seksyen 46(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga negeri. Barulah pindaan yang dibuat ini akan memberi kesan yang baik dan tidak menimbulkan masalah lain pula.
*  Bagi mualaf hak mereka adalah sama dengan hak orang yang dilahirkan Islam. Tatkala mualaf memeluk agama Islam mereka telah meninggalkan undang-undang peribadi mereka dan bernaung bawah undang-undang Islam. Hak ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan kebebasan beragama.
*  Sekali imbas jika kita hanya melihat pindaan ini daripada lensa undang-undang keluarga dan kontrak perkahwinan sahaja mungkin kita berpuas hati dengan pindaan yang dicadangkan.
* Namun jika menggunakan parameter yang lebih makro iaitu berkaitan dengan hak dalam perlembagaan, pendekatan yang digunakan tidak menepati peruntukan tersebut.
*  Manakah hak mualaf ini mengamalkan agama mereka sekiranya mereka masih lagi boleh diheret ke mahkamah sivil dan dipaksa menggunakan Akta Membaharui Undang-Undang yang berakar umbi daripada Ordinan Perkahwinan Kristian?
* Adakah mualaf tidak dilindungi jaminan mengamalkan agamanya iaitu agama Islam?
*  Penentuan hak jagaan anak pula mestilah mengambil kira kebajikan anak tanpa mengira agama ibu bapa.
* Pindaan ini tidaklah mengatakan orang yang memeluk Islam digugurkan haknya untuk mendapat jagaan anak.
* Ia hanya tidak memberi keistimewaan Islam sebagai faktor yang perlu diberi perhatian mahkamah.

* Isu penjagaan anak akan diputuskan oleh mahkamah sivil berdasarkan kebajikan anak.

* Isu agama anak pula tidak boleh dibicarakan melalui akta ini kerana Seksyen 88A telah pun dikeluarkan.

*  Pindaan undang-undang ini masih lagi belum diuji di mahkamah. Jika peruntukan ini dicabar mungkin ia boleh diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan kerana mualaf tidak dapat mengamalkan agamanya.

PRINSIP MEDIASI
Dalam aspek yang lain pula penulis sangat tertarik dengan perbahasan yang dikemukakan oleh dua ahli Parlimen dari PAS yang mencadangkan dalam hal ehwal kekeluargaan prinsip mediasi perlu diberikan keutamaan berbanding litigasi.

Hal ini sebenarnya sudah diusulkan oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia sebagaimana yang dimaklumkan oleh seorang ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagi menyelesaikan kemelut ini, PPMM pernah mencadangkan diwujudkan badan ketiga atau tribunal yang akan meneliti kes-kes antara agama ini berdasarkan prinsip rundingan secara mediasi.

Penyelesaian ini perlu diberi perhatian agar isu-isu kekeluargaan dapat diselesaikan secara rundingan dan situasi menang-menang dapat dicapai.

Dengan cara ini kedua-dua belah pihak akan diberi peluang mencapai kata sepakat dalam rundingan. Sekiranya persetujuan dicapai kontroversi akan dapat dielakkan. – HARAKAHDAILY 16/8/2017

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia