Isu Isa Samad: Peneroka Felda dapat hampas

MASA untuk warga Felda membuka mata dan minda. Betapa jerit perih warga peneroka memberikan sumbangan selama ini untuk memajukan Felda dan negara dibalas dengan sebaliknya oleh mereka yang berkuasa di atas sana. Bunga yang diberi peneroka, tahi yang mereka balas.

Advertisement

Ketika peneroka mengerah keringat di ladang, sipeneraju Felda bermewah-mewah dengan gaya tokoh konglomerat hebat. Ketika peneroka menanggung hutang tanam semula berjumlah ratusan ribu, orang besar Felda di atas sana melabur ratusan juta untuk projek yang entah apa-apa. Jika dengan peneroka sendiri, Felda sangat berkira walaupun hanya sebilah sabit dan sebuah kereta sorong semuanya masuk dalam penyata, tapi Felda tak berkira untuk ‘buang duit’ sehingga puluhan juta ke luar negara.

Misi dan visi Tun Abdul Razak ketika menubuhkan Felda telah semakin dilupakan. Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan adalah idea Tun Razak bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tanah dengan lebih cekap dan berkesan. Bermula dengan rancangan tanah yang pertama dibuka di Lembah Bilut pada tahun 1957, Felda kini telah berkembang menjadi sebuah organisasi raksasa yang gah dan hebat.

Zaman Tun Razak dulu, mungkin tak ramai orang yang berminat nak jadi Pengerusi Felda, sekadar sebuah organisasi kemajuan tanah yang berurusan dengan orang kampung untuk buka tanah baru. Sekarang dengan imej sebuah syarikat konglomerat bertaraf global, tak ramai yang mampu menolak bila ditawarkan untuk duduk di kerusi empuk Pengerusi Felda.

Isa Samad sepatutnya selepas bebas dari hukuman rasuah oleh parti sendiri, sudah boleh tidur lena dan hidup sebagai orang awam. Harta yang beliau miliki dah tak habis untuk dimakan sehingga beberapa keturunan. Bukan hanya orang Negeri Sembilan malah orang luar Negeri Sembilan pun tahu Isa Samad sudah kaya-raya.

Beliau sepatutnya sedar bahawa dirinya tak mempunyai kekuatan bila berhadapan dengan godaan wang apabila diberikan kuasa. Mata beliau cepat kelabu bila tengok wang. Apa yang telah dimiliki tak pernah cukup.

Lalu akhirnya ketika umur sepertinya, amat tragis untuk beliau disarungkan baju lokap warna oren tertulis SPRM. Tragis juga untuk saya bagitahu bahawa ketika minum pagi dengan anak-anak peneroka Felda Selasih Jabi, mereka tersenyum sinis apabila cerita Isa Samad kena tahan oleh SPRM dibuka di kedai kopi. Senyum sinis seribu makna. – HARAKAHDAILY 17/8/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat