KL2017: Ayuh kita bangkit bersama atlet negara

KL2017

PADA tahun ini sekali lagi Malaysia bakal menempa satu sejarah yang tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Selepas 16 tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada sukan pelbagai acara terbesar di Asia Tenggara. Dahulunya acara temasya sukan ini dikenali sebagai Sukan SEAP (Semenanjung Asia Tenggara), dan ia telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1959. Pada temasya berkenaan, enam buah negara telah bertanding di dalam 12 jenis acara sukan yang berbeza iaitu Thailand, Burma, Malaysia, Singapura, Vietnam Selatan dan Laos.

Advertisement

Berdasarkan sistem giliran yang terkini, Brunei sepatutnya dipilih menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 dan diikuti oleh Malaysia pada tahun 2019. Namun di atas beberapa kekangan Brunei mengisytiharkan bahawa belum bersedia untuk menjadi tuan rumah dan pada 14 Julai 2012, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) telah memilih Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 (KL2017).

Kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA atau Sukan SEAP adalah pada tahun 1965. Sehingga kini, Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001. Ketika Sukan SEA 2001, Malaysia telah muncul sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 111 pingat emas, diikuti oleh Thailand (103 pingat emas) dan Indonesia (72 pingat emas).

KL2017DACS DPP Malaysia mengucapkan tahniah dan selamat bertugas buat Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), YAM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar kerana masing-masing telah diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Malaysia Organising Committee – MASOC) bagi memimpin seluruh jawatankuasa dan 2,000 orang sukarelawan yang telibat. Didoakan agar segala persiapan dan perjalanan temasya sukan ini berjalan dengan lancar dan berjaya dengan gemilangnya.

Temasya Sukan Asia Tenggara ke-29 mempunyai 36 tempat bagi menjayakan acara sukan yang pelbagai ini, 19 di Kuala Lumpur, 10 di Selangor, 3 di Putrajaya, 2 di Negeri Sembilan dan 1 masing-masing di Terengganu dan Kedah. Sebanyak 38 sukan dan 405 acara akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos untuk Sukan SEA dan 16 sukan yang akan dipertandingakan bagi Sukan Para bermula 17 hingga 23 September 2017. Temasya sukan SEA juga dimeriahkan dengan 11 negara yang akan terlibat sebagai peserta iaitu Malaysia, Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, dan Vietnam. Manakala jumlah penyertaan keseluruhan pula ialah seramai 4,888 atlet, jumlah terbesar berbanding jumlah 3,500 atlet yang menyertai Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2001.

Pada kesempatan ini juga, DACS mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin menasihati pihak penganjur terutamanya YB Khairy Jamaluddin serta seluruh jawatankuasa pelaksana untuk berusaha sedaya upaya menjaga tatatertib dan nilai-nilai Islam sepanjang perjalanan temasya sukan ini kerana tanpa menjaga adab dan disiplin yang digariskan oleh Islam maka tiadalah harga akan temasya yang gilang gemilang ini di sisi Tuhan, Allah SWT. Marilah kita sama-sama menjaga hak Tuhan dan hak manusia dengan mengamalkan prinsip washatiyyah (seimbang di antara menjaga syariat dan memenuhi tuntutan manusia). Kerana Islam itu adalah cara hidup kita. Ayuh bangkit bersama Islam!

Akhir kata, kami medoakan agar kesemua 874 atlet negara dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam setiap acara yang dipertandingkan dan kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada atlet negara kita tak kira walau berbeza agama dan kaum. Semoga kemenangan menjadi milik Malaysia.

#BangkitBersama

Muhammad Fadzli Abu Bakar
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia