Memali: Bukan soal nak ‘attack’ Mahathir

PAS berharap supaya penubuhan Suruhanjaya Diraja Penyiasatan Tragedi Memali disegerakan supaya keadilan dikembalikan semula kepada mangsa dan juga keluarga mangsa yang teraniaya.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes pembunuhan di Kampung Memali itu bukanlah bersifat peribadi.

Katanya, saranan itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat PAS Pusat dan berkebetulan berlaku suatu ‘tragedi’ dalam program ‘Nothing To Hide 2.0’, lapor Buletin Online

“Kita memang mencadangkan supaya dibuka semula kertas siasatan kes Tragedi Memali dan mengesyorkan satu Suruhanjaya Bebas diwujudkan bagi menyiasat kes ini.

“Suruhanjaya Bebas yang dilantik di bawah Yang di-Pertuan Agong yang mewakili seluruh kepentingan rakyat termasuk bekas-bekas ketua hakim, pegawai-pegawai kerajaan, agensi-agensi yang kita fikir layak untuk mengetuai jawatankuasa yang bebas daripada sebarang penglibatan mereka dalam isu Memali,” ujarnya selepas menyampaikan ceramah Isu 1MDB dan Sidang Dun di Flat Hiliran, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurutnya, kerajaan perlu segera mewujudkan penubuhan suruhanjaya siasatan kerana isu itu telah berlalu begitu lama, kira-kira 32 tahun yang lalu.

“Bagi PAS ini bukan soal nak ‘attack’ Tun Mahathir atau mana-mana individu. Cadangan untuk siasat ini kerana prinsip kita nak menegakkan keadilan. Dan di atas prinsip keadilan ini, maka kita perlu berlapang dada.

“Kalau kita rasa terlibat sama, tak perlu nak bantah sebab kita nak menegakkan prinsip keadilan, bukan nak tohmah mana-mana individu. Itu pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita bawa,” jelas beliau.

Justeru, PAS mengharapkan agar disegerakan penubuhan suruhanjaya siasatan bebas itu dan sebagaimana yang disarankan Presiden PAS agar semua yang terlibat mesti meminta maaf dan mengakui kesilapan serta balik kepada prinsip syarak.

“Prinsip syarak ni adil dan perlu diberi balasan yang setimpal ataupun dibayar, kalau mengikut hukum syarak, dibayar diyat atau minta maaf tapi di peringkat ini, saya fikir perlu mengakui kalau kita buat kesilapan dan saya pernah sebut kepada Datuk Mukhriz supaya oleh kerana Tun (Mahathir) sebut dia tak terlibat dalam isu ini.

“Kalau dia tidak terlibat, dia perlu pergi jumpa orang Memali dan minta maaf. Jadi siapa yang terlibat masing-masing buat tuduhan. Dia (Mahathir) kata Tun Musa Hitam, Tun Musa Hitam kata Mahathir, dan bagi PAS, Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan,” tegas beliau.

Video