PAS Terengganu sasar 22 Dun, 6 parlimen

PAS menyertai politik pilihan raya sejak tahun1955 hingga ke hari ini bagi menyelamatkan manusia sama ada Islam mahu pun bukan Islam.

Advertisement

Sepanjang tempoh itu, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, dasar PAS adalah jelas dan tidak berubah.

Namun, katanya strategi dan pendekatan PAS boleh fleksibel dan berubah-ubah kerana mengambil kira suasana dan cabaran semasa.

“Ada beberapa asas dan prinsip yang perlu kita tekuni untuk memberikan kefahaman menyeluruh, apakah sasaran kita dalam sesuatu pilihan raya.

“PAS sertai siasah adalah untuk menyelamatkan manusia dengan Islam. Manusia itu adalah individu Islam dan bukan Islam. PAS perlu membawa wajah Islam kerana itulah cerminan kewujudan PAS dan itulah keyakinan kita bahawa tugas kita adalah untuk melaksanakan amanah Allah.

“PAS menyertai pilihan raya adalah untuk menang dan sebagai satu syiar. Dalam konteks PAS Terengganu khususnya, kita mempunyai pasang surut kemenangan dan kekalahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Mempersiapkan Jentera dan Tindakan Untuk Menghadapi PRU14 pada Konvensyen dan Munaqasyah Rakyat Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Lama Kampung Sura, Dungun, hari ini.

Menurutnya lagi, pada PRU 1959 PAS menang dan memerintah Terengganu dengan majoriti kecil tetapi digulingkan menerusi undi tidak percaya pada tahun 1961.

Katanya, pada PRU 1969 PAS bangkit semula dan berjaya mendekatkan jarak dengan memenangi 11 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Pada PRU 1999, kita menang dengan bergaya 28 kerusi daripada 32 kerusi Dun. PAS membentuk kerajaan dan menerapkan serta melaksanakan agenda Islam sehingga berjaya meminda Perlembagaan (Undang-Undang Tubuh) Negeri.

Pada PRU13 lalu, PAS bersama pembangkang memenangi 15 kerusi Dun berbanding 17 BN.

“Insya Allah, pada PRU14, kita bertekad untuk mencipta kemenangan sekali lagi. Inilah azam dan tekad kepimpinan, petugas, ahli dan seluruh pengundi di Terengganu,” tegasnya.

Justeru, katanya bagi mencapai hasrat ke Wisma Darul Iman, PAS Terengganu telah merangka ‘Road Map WDI’ yang konklusif.

“Kita akan bertanding di semua 32 kerusi Dun dan lapan kerusi Parlimen dengan sasaran menang paling kurang 22 Dun dan enam Parlimen.

“Setiap Dun hendaklah melaksanakan aktiviti mengikut ‘KPI’ yang telah ditetapkan.

“Program  Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti (Harap-PGU) 3.0 telah berjaya menggerakkan rakyat ke arah kemenangan PAS dalam PRU14,” ujarnya.

Katanya, PAS Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong PAS di semua peringkat yang telah menyumbang sebanyak RM1.3 juta bagi menjayakan program Harap-PGU 3.0 yang berlangsung sebanyak tujuh kali.

Konvensyen dan Munaqasyah itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut disertai Datuk Mustafa Ali. – HARAKAHDAILY 19/8/2017

MUNA2

MUNA3