Lepasan MDQ jadi harapan ummah

LEPASAN Maahad Darul Quran (MDQ), Rusila diharapkan dapat menjadi generasi yang dapat menyumbang kepada ummah pada masa hadapan.

Advertisement

Pengerusi Lembaga Pengarah MDQ, Yahaya Ali berkata, produk atau lepasan maahad itu hendaklah dapat mempertahankan akhlak dan sahsiah Islam di mana pun mereka berada.

“Lebih-lebih lagi dalam suasana sekolah-sekolah arus perdana menghadapi pelbagai masalah seperti ponteng sekolah, merokok, pergaduhan, pergaulan bebas, membuli, gengsterisme dan sebagainya,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ihtifal dan ‘Idul ‘Ilmi MDQ kali ke-26, kelmarin. Majlis dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang

Beliau juga mengharapkan produk MDQ dapat memenuhi objektif utamanya iaitu bagi melahirkan ulama-ulama Islam yang berwibawa untuk memandu masyarakat berpegang teguh kepada ajaran Islam.

“Produk kita tidak boleh dikaitkan hanya untuk memenuhi pasaran pekerjaan terutama dalam sektor awam tetapi yang lebih penting dan diharapkan ialah untuk menjadi pelapis dan kader-kader parti sama ada sebagai pemimpin, aktivis dan murabitun parti,” katanya dipetik Buletin Online.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu itu juga menyeru mereka yang keluar dari MDQ supaya mempunyai hubungan yang berterusan dengan maahad itu untuk jangka masa panjang.

“Hubungan melalui persatuan alumni perlu wujud untuk menyumbang kepada insitusi pendidikan ini dalam pelbagai bentuk,” tambahnya lagi.