Dialog bersama bishop bukti PAS amal Budaya Politik Matang

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) pada 21 Ogos 2017 telah mencatatkan satu lagi sejarah apabila berjaya mengadakan pertemuan dengan Bishop Bernard Paul di MAJODI Centre yang terletak di Masai, Johor.

Advertisement

Bishop Bernard bersama paderi-paderi dan jawatankuasa MAJODI Centre telah menyambut ketibaan rombongan daripada PAS yang terdiri daripada YB Ust Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz (AJK PAS Pusat/Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat), Khairul Faizi bin Ahmad Kamil (Penolong Setiausaha Agung PAS/Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor), Haji Hussin bin Ismail (Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat), Ustaz Mohamad bin Ibrahim (Setiausaha Lajnah Dakwah PAS Pusat), Ahmad Aljohari bin Mohd Yusof (Setiausaha PAS Negeri Johor), Ustaz Khairul Muntanazar bin Ismail (Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Johor) dan beberapa AJK Lajnah Dakwah PAS yang turut hadir bersama.

Pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam tiga puluh minit itu telah berlangsung secara harmoni dengan kedua-dua pihak saling bertukar pandangan ke arah untuk mewujudkan keharmonian di dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Pelbagai perkara telah dibangkitkan dalam pertemuan ini termasuklah berkaitan pindaan Akta RUU355 dan RUU164, hukum hudud dan hubungan di antara masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

Dalam ucapan YB Ustaz Nik Mohamad Abduh, beliau menyebut bahawa kejahilan memahami tentang agama telah menyebabkan hubungan sesama masyarakat menjadi rosak.

“Agama adalah untuk sejahtera. Kerana itu PAS mengajak kepada kesejahteraan. Tiada agama yang mengajak ke arah perkara yang negatif,” ujar beliau.

Manakala Bishop Bernard dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada YB Ustaz Nik Mohamad Abduh serta rombongan daripada PAS kerana telah berusaha membina ‘jambatan’ untuk membentuk suasana masyarakat yang lebih harmoni.

Beberapa pandangan dan cadangan yang dikemukakan di dalam pertemuan tersebut akan dibawa kepada PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya.

Diharapkan pertemuan seperti ini akan mendekatkan PAS dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
22 Ogos 2017, 1.34 pagi.

majodi1

majodi2