Ucapan ATGNA sanggah Tun M berkenaan Memali

nik aziz

SETELAH DAP dan anak didik kesayangannya, PAN tampil membela Tun Dr Mahathir dalam isu Tragedi Memali, hari ini empunya badan sendiri pula yang bersuara.

Advertisement

Skrip yang sama digunakan, taktik ‘diversion’, iaitu mereka bersepakat untuk menyerang PAS dengan menggunakan ‘Amanat Haji Hadi’ sebagai punca Tragedi Memali.  

Mereka ingin orang ramai melupakan hakikat sebenarnya yang berlaku pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir iaitu tahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim itu hendak dikenakan terhadap Almarhum Ustaz Ibrahim Libya.

Dalam blog Tun Dr Mahathir hari ini turut memetik ucapan Tun Musa Hitam, Pemangku Perdana Menteri di Parlimen yang bertarikh 20 November 1985.

Timbul kemusykilan di sini, kerana Tun Musa Hitam pada tahun 2014 telah mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir berada dalam negara ketika Tragedi Memali berlaku dan Tun Musa menafikan beliau bertindak sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Kelihatannya, episod tuding-menuding berlaku sesama mereka kerana pada tahun 1980-an itu Umno sedang mengalami konflik perbalahan dalaman antara Team A dan Team B. Tun Mahathir berganding dengan Tun Ghafar Baba dalam Team A manakala Ku Li berganding dengan Tun Musa berada dalam Team B.

Pada persidangan Parlimen Mac 1986, Kerajaan membentangkan dua Kertas Putih iaitu isu Skandal Kewangan BMF dan Tragedi Memali.

Kertas Putih ini direkayasa Kerajaan bagi menghalalkan tindakan kejam mereka membunuh 14 orang penduduk Kampung Memali termasuk Almarhum Ustaz Ibrahim Libya.

Sejak dulu sehingga sekarang, PAS tidak pernah berganjak dalam menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan penarikan semula Kertas Putih yang hitam itu agar semua yang terbabit mendapat keadilan dan pembelaan yang sewajarnya.

Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa bagi sesi Parlimen tahun 1982-1986.

Pada petang Jumaat 14 Mac 1986, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bangun membahaskan Titah Diraja.

Dalam ucapan ini, beliau tegas mempertahankan  Almarhum Ustaz Ibrahim Libya yang dituduh oleh Kerajaan sebagai pelampau agama sedangkan Almarhum Ustaz Ibrahim adalah pejuang yang berani menentang ISA yang zalim sehingga terkorban nyawanya.

Berikut adalah teks penuh ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz;

Tuan Yang di-Pertua, untuk sama-sama membahaskan Titah Baginda Yang di- Pertuan Agong yang diucapkannya pada 10 hb Mac, 1986 baru lalu, saya ingin menyebutkan dengan ringkas bahawa satu Titah yang telah dilafazkan oleh Baginda-baginda Sultan Negeri ataupun oleh Yang di-Pertuan Agong, sebahagian besarnya disusun oleh Kerajaan-kerajaan Negeri dan juga Jemaah Menteri Pusat, kalau pun tidak kesemuanya sekali, ianya dikemukakan oleh Baginda Sultan dan Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai pandangan dan dasar Kerajaan yang sedang berkuasa.

Oleh itu, tidaklah mencemarkan Baginda sekiranya ulasan-ulasan yang saya akan buat ini memperlihatkan kelemahan-kelemahan atau kepalsuan amalan Kerajaan yang sedang dijadikan landasan bertindak sekarang ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik apabila Baginda menyentuh mengenai cabaran terhadap negara oleh orang atau golongan yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan peribadi dan politik.

Tuan Yang di-Pertua, perkataan mempergunakan agama, menyalahgunakan agama dan sebagainya selalu ditonjolkan sekarang ini untuk mengelirukan dan menakut-nakutkan rakyat yang sebahagian besarnya tidak mendalami pengajian agama. Kepala orang yang mempelajari agama dan  mendalaminya yang bilangannya sekarang ini semakin membesar,

Alhamdulillah, kata-kata tadi akan menikam balik perut yang mengatakan itu sendiri.

Saya hendak tanya benda apakah yang digunakan oleh Rasullullah SAW untuk menarik orang ramai supaya menyokong Baginda kalau tidak agama?

Benda apakah yang telah digunakan oleh Baginda Rasullullah SAW untuk mendapat sokongan dan bantuan orang ramai kalau tidak kerana Qallallah dan Firman Allah.

Benda apakah yang menjadi daya tarikan orang ramai terhadap Baginda Rasullullah SAW kalau tidak kerana wahyu yang diterimanya sebagai firman dan tingkah laku Baginda, tutur kata Baginda dan kerja, buat Baginda sebagai Hadis dan pentafsiran wahyu, yang kesemuanya itu disebut agama.

Tidak ada apa pun yang menjadi daya menarik untuk Badwi Arab yang jakun itu terhadap Baginda Muhammad bin Abdullah SAW selain daripada agama yang dibawanya.

Hendak dikatakan kerana hartanya menjadi daya tarikan maka beliau orang miskin yatim piatu. Hidupnya sendiri di bawah jagaan nendanya Abdul Mutalib.

Kemudian berpindah di bawah bapa saudaranya Abu Talib yang juga miskin.

Hendak dikatakan kerana kekuasaan yang diperoleh, beliau adalah Nabi Rahmah bukan dari golongan samseng yang bermaharajalela.

Kesimpulannya, benda yang dipergunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menarik sokongan dan bantuan orang ramai sejak dahulu sampai hari ini, baik pun di bahagian ibadat ataupun di bidang pemerintahan, beliau hanyalah agama. Sabda yang keluar daripada beliau dan semua tindak-tanduk beliau adalah menjadi bahan turutan seluruh umat Islam sejak dahulu sampai Kiamat.

Orang-orang yang menerimanya disebut Mukmin, yang tidak menerimanya ada yang disebut Munafik dan ada yang disebut Kafir.

Sungguhkah PAS telah menyalahguna agama seperti yang disebut-sebut, itu belum tentu! Kerana di depan kita ada dua, satu Umno, satu lagi PAS. Mengikut kaedah biasa apabila berlaku bertengkaran di antara dua orang atau dua puak maka orang yang ketiga perlu dicari.

Sekarang segala kata-kata yang tidak sedap didengar yang dilemparkan ke atas PAS sama ada pelampau, pemecahbelah masyarakat, penyalahguna agama adalah tuduhan sebelah pihak sahaja, iaitu Umno.

Puak yang ketiga belum lagi dicari sampai sekarang walaupun bagi orang Islam puak ketiga ini memang telah lama wujud kerana turunnya Adam alaihissalam ke dunia ini sejak zaman purba pun adalah untuk membawa misi penyelesaian, yang bertugas sebagai puak ketiga,

Tuan Yang diPertua.

Oleh itu, kata-kata kesat dan tuduhan-tuduhan tadi sengaja dibesar-besarkan bagi melindungi keburukan mereka sendiri iaitu menolak puak ketiga sebagai misi damai, misi damai yang dikirim sendiri oleh Allah, pencipta alam melalui para anbia alaimussalam, yang bermula daripada Adam terus-menerus kepada Nabi Musa a.h., Nabi Isa a.h. dan akhir sekali Nabi Muhammad SAW Sila baca ayat seratus dua puluh tiga, Surah Thaha.

Tuan Yang di-Pertua, telah ada usaha sedikit-sebanyak ke arah meredakan keadaan dan kalau boleh menghapuskan keadaan tegang di antara Umno dengan PAS sejak lama dahulu.

Saya sebutkan di sini bahawa hingga hari ini sudah empat kali ura-ura hendak mengadakan perjumpaan secara berdepan dengan PAS di bawah berbagai-bagai nama tetapi tidak pernah jadi pun.

Yang pertama, semasa PAS masih di bawah pimpinan Datuk Mohd. Asri, ketika mana seorang pemimpin tertinggi Kerajaan berucap di sebuah kilang Butir Jagus, di Kampung Raja, Besut, kira-kira empat lima tahun dahulu, dalam ucapannya itu beliau menyebut masalah-masalah muzakarah dengan PAS dan diulangi lagi di tempat-tempat lain tetapi tidak pernah menemui pemimpin PAS sendiri, menyebabkan Presiden PAS ketika itu membuat ulasan bahawa cara melaung-laungkan muzakarah di sebelah pihak sahaja tanpa menghubungi pihak yang kedua, serupalah orang yang hanya melaung di tengah market ikan bahawa dia mahu meminang anak gadis si anu, si anu tetapi tidak pernah berhubung dengan keluarga anak gadis itu sendiri.

Kali yang kedua, ialah apabila isu debat ditimbulkan oleh orang yang sama tetapi tidak juga terlaksana.

Kali yang ketiga, ialah bila isu Memali meletus, timbul lagi isu dialog dengan PAS dan disambut oleh beberapa pihak yang ingin menyertai dialog itu seperti Persatuan Ulama Malaysia dan lain-lain. Inipun tidak sampai ke mana-mana juga.

Dan keempat ialah yang sedang heboh seminggu dua, sebulan dua ini daripada seorang Menteri dan kemudian dibentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada orng-orang yang dikenali tidak mempunyai pengalaman dalam hal-hal kerja seperti ini dan sampai sekarang pun kami tidak terima apa-apa jemputan dan maklumat yang rasmi, kerana Umno masih terus-menerus direndung bala dan kalau usaha membawa balik Menteri yang telah meletak jawatan baru-baru ini berjaya maka makin banyak lagi balanya yang akan menimpa.

Kesimpulannya tidak siapa boleh menerima tuduhan-tuduhan liar dari pihak pertama ke atas pihak yang kedua selagi misi damai pihak ketiga iaitu ajaran Nabi Muhammad SAW terus-menerus ditolak.

Tuan Yang di-Pertua, dalam jarak masa kira-kira 30 tahun negara ini diperintah oleh Kerajaan yang wujud sekarang ini, sudah acapkali cerita Kertas Putih ini dikemukakan kepada rakyat. Dua Kertas Putih yang dikemukakan sekarang ini kalau tidak salah saya adalah kertas yang ke-6 dan kertas yang ke-7. Sesungguhnya acap sangat menggunakan Kertas Putih ini memberi erti banyak kesilapan dan penyelewengan berlaku.

Pihak Kerajaan boleh meletakkan punca silap dan seleweng itu atas kepala rakyat, bahkan pihak Pembangkanglah yang tidak bertanggungjawab. Tetapi kalau mengikut ilmu pendidikan maka murid yang gagal dalam pelajaran itu tidak mestinya kerana mereka bebal.

Terdapat banyak kegagalan murid-murid itu berpunca daripada Cikgunya sendiri yang tidak pandai mengajar atau pihak pentadbiran itu sendiri yang cuai dalam tugas hariannya.

Dengan itu, mintalah tolong jaga sedikit status Kertas Putih ini supaya ia terus putih melepak, tidak putih pucat.

Tuan Yang di-Pertua, apabila kita bandingkan di antara isu Memali dan isu BMF kita dapati banyak rahsia-rahsia yang memalukan telah didedahkan oleh satu jawatankuasa yang hanya dibentuk oleh BBMB yang kuasa-kuasanya adalah terhad. Usaha- usahanya mencari dan meneliti fail-fail tertentu hanya terletak di atas ihsan balas kasihan pihak jabatan-jabatan tertentu. Apa kata kalau kerja-kerja penyiasatan ini ditugaskan kepada sebuah Jawatankuasa di Raja yang mempunyai kuasa-kuasa pembongkaran yang tidak terbatas sudah pasti banyak lagi penyelewengan dan pengkhianatan yang akan terburai keluar.

Tetapi dalam kes Memali, usahkan Suruhanjaya Diraja yang dibentuk sepertimana yang kami tuntut selama ini, jawatankuasa kecil seperti yang dibuat oleh BBMB pun tidak ada.

Yang ada di hadapan kita hanya kenyataan sebelah pihak sahaja iaitu pihak Kerajaan, pihak Kerajaan sahaja yang bermaharajalela membuat kenyataan-kenyataan tertentu.

Tuan Yang di-Pertua, Tambah buruk Iagi bila sebahagian daripadanya dibuat oleh orang-orang tertentu semasa mereka ditahan, yang besar kemungkinan mereka itu telah dilakukan sesuatu yang menjejaskan mental dan fizikal mereka. Dan dalam kes penangkapan apa yang dikenali sebagai kes “Tiga Abdul” dahulupun, ada di antara mereka yang telah membuat kenyataan terbuka apabila mereka dibebaskan menafikan kesahihan kenyataan yang mereka buat semasa dalam tahanan dahulu.

Tuan Yang di-Pertua, ada beberapa perkara penting di dalam kes Memali ini yang perlu dijelaskan iaitu:

Pertama, tidak terdapat pemeriksaan ke atas senjata dan peluru oleh Jabatan Kimia dan sebagainya sepertimana yang telah dibuat dalam kes pembunuhan Dato’ Mokhtar Hashim. Penyiasatan ini selain daripada tugas biasa pihak yang berkenaan yang perlu dilakukan, ia juga boleh menentukan benar atau tidak teori peluru getah atau katakanlah peluru air sejuk yang digunakan oleh pihak pasukan bersenjata.

Dia juga boleh menentukan pembunuhan ke atas pegawai-pegawai bersenjata itu sama ada daripada pihak mereka sesama sendiri memandangkan gambar sketch yang ditunjukkan di muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di hari yang pertama kejadian itu berlaku menunjukkan kedudukan pasukan Polis itu adalah secara berdepan satu sama lain; satu.

Kedua, apa puncanya maka dalam kes pembunuhan Memali ini sahaja yang dikenakan kepungan dan tangkapan yang sampai luar daripada peri kemanusiaan, kecil-besar, tua-muda; sedangkan semasa pembunuhan bekas Ketua Polis Negara dulu tidak ada apa-apa pun tindakan luar biasa seperti itu. Semasa ramai detektif-detektif kita yang dibunuh di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur sendiri oleh perompak-perompak yang bersenjata juga tidak ada kepongan-kepongan dan tangkapan-tangkapan beramai-ramai dibuat.

Ketiga, sudah tidak adakah cara lain yang boleh dibuat selain daripada membawa pasukan bersenjata beramai-ramai, penuh dengan kelengkapan perang yang jelas datang untuk membunuh, bukan untuk berunding. Bukankah lebih baik menggunakan kepungan ketat, seketat-ketatnya supaya barangan makanan dan minuman kehabisan.

Dan bagi orang kampung Baling keseluruhannya yang terkenal miskin, sudah tentu tidak banyak simpanan bekalan makanan yang biasanya tidak lebih daripada untuk satu ke dua minggu sahaja; itu pun banyak. Apabila mereka kelaparan dan kehausan, keadaan tidak lagi memerlukan peluru dan gas pemedih mata yang memakan korban harta dan nyawa.

Kalau dengan Chin Peng, Ketua Komunis, boleh diusahakan sungguh-sungguh sampai boleh berunding.

Kalau dengan pengganas-pengganas komunis pun Kerajaan lebih banyak menggunakan tektik mengepong, tidak tektik menyerang maka adalah seorang ustaz, yang Kertas Putih sendiri mengakui ilmunya tinggi dan pihak Polis sendiri mengakui kebaikannya dengan memberikannya senapang patah yang berlesen, adakah ia lebih buruk daripada Chin Peng? Tidak masuk akal !

Kejadian Memali, Tuan Yang diPertua, perlu menjadi pelajaran kepada pihak Kerajaan bahawa tidak semua manusia boleh tunduk kepada Akta ISA dengan sewenang-wenangnya.

Ada di antara manusia yang berpelajaran tinggi telah menggunakan ilmu dan akal yang dikurniakan kepadanya oleh Tuhan seperti Allahyarham Al-Syahid Ibrahim Libya misalnya, untuk menanya diri sendiri mengapa aku dikenakan ISA, sedangkan tidak ada orang yang aku bunuh sebelum ini.

Tidak ada wang negara yang aku gelapkan sebelum ini.

Tidak ada pengajaran ilmu salah yang aku sebarkan sebelum ini. Kerana beliau telah diakui berpelajaran tinggi di bidang Islam. Kerajaan yang menuduh almarhum itu mengajar ilmu salah, adalah Kerajaan yang tidak bermaruah kerana Kerajaan yang ada hari ini sendiri tenggelam dalam lubuk ilmu salah.
 
Kalau almarhum Ibrahim Libya salah kerana mengajar ilmu salah sekalipun, maka bukan tugas pasukan bersenjata menembak mati orang yang menyebar ilmu salah, ada pihak lain yang ditugaskan untuk membetulkan orang yang mengajar ilmu salah iaitu Majlis Agama Islam.

Dan kenapa tidak ditembak mati bekas Pengerusi PSRM yang mengeluarkan teori Hadis yang diakui salahnya oleh pihak Nadwah Islamiah baru-baru ini sendiri?

Pentadbiran Kerajaan yang wujud hari ini adalah sambungan daripada pentadbiran Inggeris yang sengaja membelah-duakan kuasa di antara Inggeris yang bukan Islam dan di antara Raja-raja Melayu yang memerintah dengan syariat Islam sebelum itu, mulai dari Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 hingga ke masa ini.

Kerajaan khususnya Umno yang hingga ke hari ini menjadi tulang punggung pemerintah sekarang tidak berbuat apa-apa pun untuk menyatukan balik pembelahan tadi.

Bahkan meneruskan dasar sekular dan pengasingan Islam ini daripada pentadbiran negara.

Siapa sahaja yang membaca ucapan Yang Amat Arif Tun Haji Mohd. Salleh bin Abas dalam sidang pembukaan Seminar Perundangan Islam pada 9-2-1985, di Kuala Lumpur, anjuran Bar Council Malaya dan juga Kertas Kerja yang dikemukakan oleh Professor Dato’ Ahmad Ibrahim, Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, dalam Seminar Perundangan Islam anjuran Jabatan Syariah, UKM pada 10-8-1981 di Bangi dengan jelas dapat mengetahui bahawa negara ini bukan negara Islam sepertimana yang ditonjolkan oleh golongan yang berkepentingan.

Itu tidak termasuk lagi ucapan-ucapan pemimpin negara sendiri di merata-rata tempat dan disiarkan secara terang-terangan. Orang yang berkeras menyatakan negara ini sebagai negara Islam maka secara otomatis telah meletakkan Rasullullah SAW sendiri sebagai ketua bagi negara yang bukan Islam, waizubillah.

Sebaliknya, orang yang menyakini dengan penuh iman bahawa Rasullullah SAW itu ketua negara Islam dengan sendirinya menyakini bahawa negara ini bukan negara Islam. Kerana kalau yang menggunakan perundangan buatan sendiri itu dikira Islam maka yang menggunakan perundangan Allah itu takkanlah hendak dinamakan Islam juga.

Kalau di antara negara sosialis dan negara demokrasi pun telah dibeza-bezakan hasil dari perbezaan perlembagaan masing-masing, inikan di antara wahyu langit dan keputusan manusia di bumi takkanlah tidak ada beza.

Kalau kedua-duanya serupa maka serupalah pula taraf wahyu Allah dari langit dengan taraf keputusan manusia di bumi. Dan itulah namanya “syirik”.

Mereka yang menyerupakan dua perkara yang tidak serupa inilah yang sebenar-benar pelampau, dan bukan Allahyarham Ibrahim Libya yang dicapkan sebagai pelampau atau pengkhianat dan sebagainya.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan isu fatwa; adalah diketahui umum bahawa negara ini bukannya negara fatwa. Bukan negara yang meletakkan fatwa sebagai asas aktivitinya. Bukan negara yang bertanya khabar fatwa terlebih dahulu baru menjalankan kerja-kerjanya.

Negara ini tidak pernah meminta fatwa terlebih dahulu sebelum menjalankan kegiatan ASN misalnya, yang melibatkan kewangan dan ekonomi rakyat yang melabur di tempat-tempat permodalan yang mengamalkan riba.

Tidak meminta fatwa terlebih dahulu sebelum membuka kegiatan judi dan maksiat-maksiat lain. Bahkan sebelum daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai di Memali pun tidak juga terlebih dahulu meminta fatwa.

Meminta fatwa dan mengeluarkan fatwa dalam kes Memali sama ada “syahid makriqah” kah atau tidak adalah merupakan pertolongan cemas dari golongan yang sedang dirundung bala yang mereka sendiri menimpanya.

Khalifah pertama, selepas Rasullullah SAW dalam ucapan sulungnya sebelum memegang jawatan ketua negara ada menyebut, yang bermaksud “hendaklah kamu sekalian taatkan saya selagi saya sendiri taatkan Allah.”

Beliau sendiri mengeluarkan fatwa bahawa ketaatan rakyatnya kepada beliau adalah bersyarat. Beliau sendiri mentaati Allah terlebih dahulu, sedangkan beliau adalah Khalifah yang pertama yang telah diberi mandat oleh Rasullullah SAW supaya orang Islam sekalian taatkan Khalifah.

Maka kalau seorang Khalifah telah meletakkan syarat ke atas diri sendiri maka golongan yang tidak bertaraf Khalifah tidak usahlah bising, dan tidak usahlah risau sangat sekiranya ada sesiapa yang mempertikaikan pendapat dan fatwa mereka. Islam, alhamdulillah tidak tegap atas fatwa, tetapi tegap atas nas yang sah dan muktabar.

Zaman manusia sebelah sini menerima secara total semua pendapat orang atas dan menerima semua fatwa golongan tertentu telah pun berlalu masanya.

Zaman pengajian Islam telah mula menyuluhi alam dan generasi baru telah mula menguasai alam pemikiran yang jauh berbeza dengan “grand design” yang diatur oleh golongan Thaghut zaman-berzaman.

Generasi sekarang ini telah dengan selera memikul tugas jihad fillah biamwalihim waanfusihim seperti yang diajar oleh Allah SWT Mereka menerima Allah sebagai Tuhan bukan kerana Allah itu dilantik oleh para Malaikat untuk menjadi Tuhan. Atau ditabalkan terlebih dahulu untuk Tuhan. Allah menjadi Tuhan pujaan mereka kerana ia Tuhan yang penuh berhak dan berkuasa, termasuk di lapangan Syariah dan hukum.

Bukan seperti kekuasaan yang ada di tangan manusia yang lebih dahulu mesti dipilih, terlebih dahulu mesti dilantik, terlebih dahulu mesti ditabal baru berkuasa. Dan cerita fatwa yang bercanggah sesama Mufti Mesir di atas isu berdamai dengan Israel adalah satu isu yang perlu difahami oleh kita sebelah sini.

Sesungguhnya kalau Kerajaan sekarang tidak berniat serong terhadap PAS khususnya Almarhum Ustaz Al-Syahid Ibrahim Libya tentunya banyak lagi ikhtiar yang boleh dibuat untuk mengelak daripada pembunuhan beramai-ramai.

Kalau Musa Ahmad, bekas komunis itu pun Kerajaan berjaya membawanya balik hidup-hidup, melintasi beberapa buah negeri, inikan pula Ibrahim Libya yang rumahnya hanya di tepi jalan raya, bukan di tepi hutan belantara, ia hanya dipagari dengan kawat berduri biasa sahaja, bukannya kubu-kubu kuat macam Mengganouk di Perancis atau Barlif di Terusan Suez.

Sesungguhnya, Tuan Yang diPertua, penyalahgunaan agama hanya berlaku apabila agama dan saluran agama itu dipergunakan untuk mempertahankan sekularisme, untuk mengharuskan tindakan-tindakan zalim seperti yang diamalkan oleh Kerajaan hari ini.

Hatta golongan Paderi di Manila yang tidak melibatkan diri dalam proses politik pun tahu bahawa rejim Marcos adalah zalim dan menipu, inikan pula kita orang Islam di Malaysia yang sentiasa mengikuti politik untuk membentuk politik Islam makin mudah mengenali dan dapat merasai kezaliman-kezaliman yang berlaku di Memali.

Tuan Yang di-Pertua, Dalam masalah BMF nampaknya tidak jauh bezanya dengan masalah Memali. Sama-sama berlaku kecuaian dan penyalahgunaan kuasa. Yang saya hendak sebut di sini cuma hanya satu iaitu waktu kes ini mula heboh kira-kira 2-3 tahun lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang telah pun membuat ulasan terbuka bahawa kes ini adalah satu kes jenayah moral.

Biasanya, jenayah moral ini tindakan ke atasnya pun berbentuk tindakan moral dan tatatertib sahaja, tidak melibatkan fizikal atau kewangan yang banyak. Sekiranya begitulah bendanya, maka kehilangan wang yang amat besar ini tanpa tindakan selain daripada tindakan moral sahaja akan memberanikan lagi penjenayah-penjenayah lain bertindak dalam cara yang sama atau lebih sophisticated di masa akan datang.

Dan pada masa itu kewibawaan Parlimen dan kedaulatan undang-undang tidak akan mendapat tempat lagi dalam nubari rakyat. Rakyat di masa itu akan bertindak secara mereka sendiri dan inilah yang merbahaya.

Kalau hujan menimpa kita di tengah padang,  
kita lari berteduh di bawah pokok;
kalau pokok tidak dapat meneduhi kita,  
kita lari balik ke rumah sendiri.
Tetapi kalau rumah sendiri mula bocor,
biasanya orang buang atap lama untuk ditukar dengan
atap baru.HARAKAHDAILY 24/8/2017

Penulis ialah Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS