Kepak ayam cucuk vaksin

drsuhazeli

“DOKTOR, ada orang duk sebar makan chicken wing dan tengkuknya bahaya. Kata depa, boleh menyebabkan kanser dan sista kepada wanita,” tanya seorang pesakit semasa sesi klinik.

Advertisement

“Apasal pulak, kak? Jika tak mboh kepak ayam tu, bawa mari ssini lah, saya nak makan. Ruginya rezeki Allah beri…” jawabku ringkas.

“Depa kata ayam leni semua cucuk hormon dan cucuk vaksin. Sebab tu ayam-ayam gemuk montel dan dipelihara sebulan lebih sahaja, beza dengan ayam kampung dan ayam organik.” Jelasnya panjang lebar sambil baca tulisan tular melalui wasap.

Isu ayam cucuk hormon atau vaksin seperti ini tular sejak 1999 lagi. Tidak diketahui punca sebenar tularan dibuat. Antara tulisan yang disebarkan adalah nasihat dari seorang

Jururawat senior dari London bernama Mr Khalid Javed Alkhaili. Nasihat beliau berdasarkan pengalaman doktor yang merawat seorang perempuan yang mengalami penyakit sista (ovarian cyst). Kononnya penyakit sista perempuan tersebut berpunca dari terlalu banyak memakan kepak dan tengkuk ayam. Kepak dan tengkuk ayam dikatakan adalah tempat tusukan jarum bagi hormon steroid. Hormon inilah yang menyebabkan sista, mahupun boleh penyebab masalah kepada wanita.

Maklumat yang saya perolehi, ayam-ayam semua tidak pun dicucuk hormon, ataupun vaksin. Malah ianya melanggar Akta Makanan 1983 dan Akta Akta Makanan Haiwan 2009. Begitu juga Badan Berkuasa Kawalan Makanan dan Dadah (FDA) melarang penggunaan hormon ke atas ayam ternakan sejak 1960 lagi.

Teknologi penternakan hari ini menyaksikan ayam diternak dalam tempoh masa yang singkat, iaitu dalam tempoh 40-45 hari. Apa yang menyebabkan ianya cepat membesar ialah jenis makanan yang diberikan. Terdapat dua jenis makanan yang diberikan kepada ayam iaitu makanan permulaan (starter) bagi ayam yang berumur 1-21 hari dan makanan penggemukan atau pertumbuhan (grower) pada umur 15-39 hari. Jika pasaran memerlukan ayam bersaiz besar maka makanan penghabisan (finisher) perlu diberikan ketika umur 40 hari hingga dijual.
Makanan diberi tanpa had (ad libitum) atau tidak dicatu. Makanan ayam tersebut mengandungi protein yang tinggi. Selalunya dari sumber soya yang kaya dengan asid amino.[1]

Ayam pedaging di Malaysia adalah majoriti daripada baka ayam Ross atau Cobb. Ia adalah baka ayam pedaging berasal daripada Amerika Syarikat dengan kebolehan tumbesaran yang pantas.[2] Adalah tidak benar tuduhan yang mangatakan ayam-ayam dicucuk hormon untuk menggemukkan mereka dalam tempoh yang singkat.

Ayam-ayam dicucuk hormon atau vaksin adalah fitnah dan keterlaluan. Cuba bayangkan satu reban ayam sebanyak 15,000 hingga 20,000 ekor ayam. Lenguh tangan tauke dan pekerja reban ayam nak cucuk vaksin dan hormon tu. Jika 10 reban, pendeknya lelah berjelirlah semua pekerja nak ‘kerjun’ ayam-ayam tersebut.

Ayam-ayam pedaging sememangnya diberi vaksin. Tetapi bukan dengan kaedah cucuk seperti manusia. Ayam-ayam ternakan di dalam reban yang banyak itu diberi vaksin melalui campuran makanan dan air. Bagi kes-kes khas vaksin diberikan melalui titisan ke dalam mata atau mulut ayam.[3] Kemudian, geng antivaksin akan pertikai, vaksin tu halal ke haram? Di sini tidak timbul sama ada vaksin haram atau halal. Makanan atau bahan yang masuk ke dalam badan ayam dimaafkan dari sudut hukum. Andai makanan haram sekalipun, ayam-ayam tersebut dari segi hukumnya adalah binatang jalallah. Ibarat contoh, ayam kampung yang makan tahi, dan kita memakan ayam tersebut. Kita bukan makan tahi tetapi memakan daging ayamnya yang enak sehingga menjilat jari.

Kejadian kanser terhadap manusia bukan akibat makan ayam pedaging. Punca kanser adalah pelbagai. Merokok adalah satu-satunya punca jelas penyebab kanser. Jauhilah rokok bukannya ayam.

Dr Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli

26.8.17
Kuantan

Pautan
[1] Akta Haiwan.
http://www.fao.org/docrep/013/al705e/al705e00.pdf
[2] Strain Ayam Broiler.
https://www.pertanianku.com/strain-ayam-broiler/
[3] Vaksin Ayam. https://www.merckvetmanual.com/poultry/nutrition-and-management-poultry/vaccination-programs-in-poultry