Penindasan kaum Rohingya: Dunia jangan membisu

MISI penghapusan etnik Rohingya masih berterusan tanpa penyelesaian, bahkan kerakusan tentera rejim Myanmar dan pelampau Buddha Rakhine semakin mengganas tanpa perikemanusiaan.

Advertisement

Terbarunya serangan di perkampungan Maungdaw Buthidaung dan Rathidung di Myanmar telah membunuh lebih kurang 500 orang tanpa mengira lelaki, perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak, rumah-rumah dibakar dan jumlah ini semakin meningkat. Kini mereka menderita tanpa tempat tinggal dan mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi. Mereka terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri. Nyawa mereka diancam setiap masa dengan tujuan mereka dihapuskan dari peta Myanmar.

Masyarakat dunia perlu sedar dan bangkit bahawa isu penindasan rakyat Rohingya adalah isu kemanusiaan, di belakangnya tersingkap beberapa isu yang melatari jalan cerita; isu hak asasi manusia, diskriminasi kelompok majoriti terhadap kelompok minoriti, penghapusan etnik masyarakat Islam, kisah kegagalan organisasi-organisasi antarabangsa dan serantau dalam menyelesaikannya, kisah keganasan pihak tentera dan sifat tidak bertamadun masyarakat moden dalam melakukan penindasan sesama manusia. Perhatian bangsa dunia amat diperlukan.

Negara-negara yang menandatangi Piagam Hak Asasi Manusia, Piagam Geneva, negara-negara ASEAN, PBB, negara-negara Islam OIC, negara Islam Serantau dan semua pejuang hak asasi manusia perlu berganding bahu memberi amaran kepada kerajaan Myanmar yang melanggar hak asasi manusia dan menafikan hak kerakyatan masyarakat Rohingya.

Kerajaan Malaysia wajib bekerjasama dan bertindak lebih proaktif dengan negara-negara lain, parti-parti politik, NGO-NGO dan agensi antarabangsa bukan sahaja menghantar misi kemanusiaan, bahkan semestinya memberi tekanan politik kepada kerajaan Myanmar agar menghormati hak kemanusiaan. Kuasa politik amat penting untuk menghentikan penindasan ini.

Islam lebih mendahului dalam menjaga hak orang Islam dan bukan Islam serta pelarian negara asing yang hidup bermasyarakat majmuk dalam negara Islam. Pembinaan Masyarakat Madani yang saling memerlukan di antara satu bangsa dengan bangsa lain, satu kaum dengan kaum lain menjadi asas keharmoniaan di bawah pemerintahan Islam dengan mendahulukan perdamaian dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi, sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.

PAS akan menghantar misi kemanusiaan melalui PASRelief dan NGO-NGO dan berunding dengan pihak kerajaan dan agensi antarabangsa untuk menghentikan kezaliman yang tidak bertamadun ini dengan kembali ke meja rundingan.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, marilah kita bersatu dan berganding bahu atas dasar kemanusiaan. Marilah kita mendesak kerajaan Myanmar agar menerima kerakyatan masyarakat Rohingya dan menyelesaikan konflik ini secara aman dan damai.

Sabda Rasulullah SAW:

مَن لَمْ يهتَمَّ بأمرِ المُسلِمينَ فليس منهم   

“Barangsiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin maka dia bukan sebahagian dari mereka.”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Zulhijjah 1438 / 30 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 30/8/2017