Iktibar pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim a.s.

PERUTUSAN Hari Raya Aidiladha 1438h: Iktibar Pengorbanan Keluarga Nabi Ibrahim a.s.

Advertisement

Assalamualaikum w.b.t

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
 
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.

Pengorbanan adalah satu ucapan yang mudah diucapkan tetapi belum pasti dapat direalisasikan di dalam bentuk praktikal dan pelaksanaannya. Di dalam situasi cabaran yang pelbagai masakini sudah tentulah besar pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seseorang manusia untuk menjadi lebih baik dan maju. Hati, perasaan, harta, wang ringgit, masa dan segala yang dimiliki perlu dikorbankan demi menjamin masa depan yang cemerlang dan teratur. Namun begitu perlulah dipastikan semoga setiap yang perngorbanan yang perlu dilakukan itu benar-benar dapat mengembalikan diri kita ini kepada ketaatan, kecintaan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
 
Sesungguhnya kisah pengorbanan Keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. adalah manifestasi lambang ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba di dalam menjunjung titah perintah Penciptanya iaitu Allah SWT. Kisah pengorbanan mereka telah menjadi pengetahuan umum kepada seluruh umat Islam dan pada setiap tahun jutaan umat Islam yang menunaikan ritual ibadah haji sebagai bentuk keteladanan terhadap perjalanan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. beserta Baginda. Setiap rukun Haji melambangkan kejadian yang dilakukan oleh Nabi Ibrahi a.s., isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. seperti sa’i, melontar jamrah dan menyembelih haiwan qurban.

Terdapat beberapa pengajaran dan pelajaran yang boleh kita jadikan sebagai pengiktibaran daripada kisah Keluarga Nabi Ibrahim a.s. ini agar kita dapat memahami keberadaan kita di dalam dunia ini bukanlah sia-sia melainkan ada tanggungjawab yang perlu kita tunaikan yang antaranya:

1. Setiap orang yang Mukmin yang mengaku beriman pasti akan diuji oleh Allah SWT. Para Nabi dan Rasul adalah orang yang paling kuat menerima ujian daripada Allah SWT walaupun mereka tidak melakukan dosa berbanding kita selaku insan biasa yang banyak melakukan dosa kerana lalai dan alpa. Ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada hambanya adalah berbentuk musibah dan nikmat yang mana kedua-duanya adalah bergantung kepada kemampuan manusia tersebut menerimanya. Baik musibah mahupun nikmat, yang pastinya ujian daripada Allah SWT ini adalah merupakan peringatan, teguran, penghapusan dosa dan juga untuk mengangkat darjat manusia sekiranya manusia tersebut akur, patuh serta kembali bertaqwa kepada Allah SWT;
2. Setiap orang Mukmin perlulah melaksanakan ibadah mereka secara ikhlas dengan tidak mengharapkan sebarang imbuhan melainkan keredhaan Allah SWT;
3. Kewajiban untuk mentaati arahan dan suruhan orang tua (ibu bapa) sekalipun mereka tidak beriman kepada Allah SWT dengan menuruti nasihat dan perintah mereka sealama ianya membawa kebaikan dan tidak melanggar larangan Allah SWT;
4. Mendahulukan perintah Allah SWT kerana rasa cinta dan kasih kepadaNya mengatasi kecintaan terhadap dunia dan keluarga;
5. Mencontohi dan meneladani kehidupan keluarga bahagia Nabi Ibrahim a.s. yang dibina atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT sehingga akhirnya dapat menuju kepada Syurga Allah secara bersama-sama. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Ghaafir ayat 8 yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang Telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Marilah kita sama-sama memahami serta mengambil pengajaran dan pelajaran daripada kisah pengorbanan Keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. ini sebagai bekalan untuk kita bawa di hari kemudian nanti. Semoga Hari Raya Aidiladha pada tahun ini akan menjadi momentum bagi kita semua untuk mengevaluasi keluarga kita masing-masing. Kisah teladan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarga Baginda ini hendaklah kita jadikan sebagai sumber inspirasi dan motivasi bagi kita untuk membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang sentiasa berada di dalam redha Allah SWT.

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Taqabbalallahu minna wa minkum, Selamat Hari Raya Aidiladha 1438 Hijrah, Minnal ‘Aidil Wal Faizin, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh Umat Islam di Malaysia dan di Selangor khususnya. Rapatkan silaturrahim, mesrakan ukhuwah, tolak ekstrimis dan keganasan serta berbelanjalah secara berhemah. Semoga anak-anak perantau yang akan pulang berhari raya di kampung dapat merancang perjalanan dengan sebaiknya agar selamat sampai ke destinasi tujuan. Didoakan semoga seluruh ibadah kita selama ini diterima oleh Allah Taala.  

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd

DATUK DR. AHMAD YUNUS HAIRI,
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
08 Zulhijjah 1438H bersamaan 30 Ogos 2017M – HARAKAHDAILY 30/8/2017