Kerajaan didesak tangguh laksana pindaan Akta 164

SEGALA ruang yang ada perlu digunakan untuk mendesak kerajaan daripada melaksanakan Akta 164 walaupun sudah dilulus di parlimen baru-baru ini.

Advertisement

Pakar Perundangan, Dr Ahmad Jailani Abd Ghani berkata, pelbagai usaha perlu diambil untuk menghalang pindaan itu daripada dilaksanakan.

“Gunakan kuasa eksekutif untuk menggagalkan pelaksanaan pindaan itu demi masa depan Islam khususnya mualaf,” katanya pada Wacana Pindaan Akta 164 Dari Kaca Mata Islam di Putik hari ini.

Seorang lagi panelis iaitu Pengerusi Luham Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah

Program berkenaan anjuran bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Yayasan Amanah Tok Kenali dan Ilmuan Kelantan.

Perasmiannya disempurnakan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Datuk Dr Johari Mat. Hadir sama Pengerusi Ilmuan Kelantan, Datuk Hassan Mahmood.

Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan selepas dibaca kali ketiga di Dewan Rakyat awal pagi 11 Ogos lepas.

RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, diluluskan pada jam 12.45 pagi selepas dibahaskan lebih empat jam.

Pindaan RUU itu memberi hak kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1) Akta 164.

Dr Ahmad Jailani juga berkata, sebahagian besar masyarakat khususnya umat Islam tidak mengetahui kenapa pindaan akta itu perlu ditentang.

“Sekiranya mereka tahu, langkah meminda Akta 164 lebih mencetuskan pertikaian undang-undang berbanding penyelesaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2017