PAS konsisten tiada hubungan dengan PH

PAS tetap konsisten dengan pendirian untuk tidak mengadakan sebarang hubungan dengan parti komponen Pakatan Harapan bagi menghadapi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan berkenaan dibuat sebelum penyertaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bersama Pakatan Harapan (PH).

“Kita sudah buat keputusan tidak ada apa-apa dengan PH. Jadi tidak timbul mereka buat keputusan untuk tidak bekerjasama sebab kita sudah buat dari awal lagi, itu kena jelas.

“Kita tidak akan bincang kerana dia (PH) ada DAP dan PAN, malah Bersatu pun daripada awal lagi tiada hubungan rasmi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Pemimpin utama PH semalam dilapor memutuskan tidak mengadakan kerjasama dengan PAS termasuk kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya depan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS sudah bersedia menghadapi situasi berkenaan bahawa akan berlaku tiga penjuru selepas parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

“Pertembungan sama ada empat penjuru atau tiga penjuru, kita memang sudah bersedia, menang kalah itu kehendak Tuhan, Tuhan yang menentukan tapi bagi kita itulah senario yang dijangkakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2017