Mesej Aidiladha untuk tegakkan pemerintahan Islam

AIDILADHA bukan hanya perayaan seperti yang disambut oleh anggota masyarakat dalam pelbagai perayaan lain, tetapi ia adalah perayaan yang dibina di atas asas akidah yang sangat hebat, pengorbanan yang dibina di atas asas ketaatan mutlak kepada Allah, tanpa bantah, apa lagi untuk mencari helah.

Advertisement

Pengorbanan besar yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim adalah lambang pengorbanan besar meliputi seluruh demensi kehidupan, berhadapan dengan tindakan dihalau oleh keluarga akibat mempertahankan akidah, walaupun telah dicubanya pelbagai cara lain bagi meyakinkan ayahnya agar berfikir dengan akal yang waras.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, al-Quran menceritakan detik perbincangan dan kisah mereka itu dalam Surah Maryam, ayat 42, 43, 44, 45, 46 dan 47.

Menurutnya, menghayati setiap kalimah dari ayat-ayat itu, khususnya ayat 45 dalam Surah Maryam menggambarkan kepada kita bagaimana seorang anak yang berusaha menyelamatkan ayah dari azab Allah di akhirat yang ternyata bukanlah sesuatu yang mudah.

Katanya, menegur ayah tidak semudah menegur orang lain yang jelas menunjukkan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim sangat hebat, berhadapan dengan ayah kandung, sehingga dia dihalau dan diancam oleh ayahnya, namun sebagai anak, dia tetap berdoa kebaikan kepada ayahnya.

“Akhirnya, dalam Surah Maryam, ayat 47, Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadaku.”

“Pengobanan berpisah dengan keluarga bagi mempertahankan akidah adalah sesuatu yang sangat hebat, kerana kebanyakan manusia tidak sanggup berpisah dengan harta atau pangkat kebesaran walau nyata bercanggah dengan akidah dan iman,” katanya kepada Harakah, hari ini.

Beliau menegaskan, hakikat pengorbanan Nabi Ibrahim bukan terhenti di situ, malah berterusan dengan pelbagai ujian keimanan, termasuk tindakan membawa isterinya, Hajar dan anaknya, Ismail yang diperintah oleh Allah agar ditinggalkan di lembah yang kering kontang, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 37.

Menurutnya, kepatuhan Nabi Ibrahim tidak terhenti sekadar itu, malah bertambah hebat apabila Allah memerintahkan beliau menyembelih anaknya, Ismail ketika anaknya itu sudah sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam Surah As-Saaffat, ayat 102.

“Setelah ia berjaya membelakangi kepentingan diri, ayah, isteri dan anaknya, maka ujian harta pula berlaku bila Allah memerintahnya mendirikan Kaabah. Sebagai lambang kepatuhan dan pengabdian diri hamba kepada Allah.

“Maka pengorbanan sebenar bukanlah sembelihan binatang korban, tetapi kepatuhan dan ketaatan mutlaknya kepada segala  perintah Allah, seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Al-Hajj, ayat 37,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam memenuhi tuntutan perjuangan bagi menegakkan Islam sebagai kuasa pemerintahan bagi menyelamatkan manusia, negera dan alam seluruhnya, Allah telah menurunkan satu sistem yang lengkap dan sempurna untuk kebaikan manusia.

“Sistem Islam adalah jawapan dan penyelesaian kepada segala kemelut yang berlaku. Kita perlu mengakui secara jujur bahawa negara memerlukan sistem dan dasar baru bagi menjamin kemakmuran, keadilan dan keharmonian; setelah gagalnya sistem yang ada.

“Rasuah, salah guna kuasa, jenayah, dadah, dan seribu satu masalah melanda negara kini adalah akibat Islam tidak memerintah. Islam dengan segala sifat rahmatnya mesti dijadikan panduan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, selagi sistem yang bersumber kepada akal manusia yang terpisah dari panduan wahyu dijadikan dasar pemerintahan, ia hanya akan menjanjikan kegagalan, kemusnahan dan kerosakan.

“Sempena Aidiladha kali ini, marilah kita perkukuhkan gerak kerja jamaah, bina keupayaan diri, tingkatkan ilmu pengetahuan yang benar, tingkatkan pengorbanan agar hasrat untuk melihat dasar Islam menjadi panduan bernegara dapat dicapai. In sya Allah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 31/8/2017