Ibadah korban bukan sembelihan semata-mata

IBADAH korban bukanlah hanya semata-mata menyembelih ternakan seperti lembu atau kerbau sepertimana yang dilakukan setiap tahun bahkan ia suatu perbuatan yang sangat dituntut dalam agama.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, apa yang paling penting dalam melakukan ibadah korban dan semua ibadah ialah kita hendak mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT.

“Dan kita tidak akan dapat keredhaan daripada Allah melainkan dengan dua perkara iaitu yang pertama sekali ialah ikut cara yang Nabi SAW ajar. Jadi ibadah korban ni hak nabi ajar. Nabi Ibrahim AS tunjuk dan kita laksanakan sunnah ini.

“Yang keduanya ikhlas kepada Allah di mana apa yang penting daripada ibadah ini ialah keikhlasan supaya kita dapat ganjaran dan pahala di sisi Allah SWT,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis korban lembu nesar di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, selain itu ia dapat merapatkan silaturahim dan hubungan persaudaraan Islam serta memupuk semangat bekerjasama dan bergotong-royong bagi menguatkan lagi hubungan di antara satu sama lain.

“Mudah-mudahan usaha kita ini diberkati oleh Allah SWT dan apa yang penting ialah ibadah korban dan semua ibadah yang kita lakukan tujuannya ialah kita nak mendapat keredhaan daripada Allah SWT,” katanya.

Beliau turut mengucap terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menjayakan program itu.