Bread & butter, cash cow, star dan politik

SAYA pernahlah sekolah dulu belajar sikit sikit ilmu pemasaran.

Advertisement

Pesan pensyarah saya ‘always know your bread and butter’. Ada yang sebut cash cow. Dalam perniagaan, ‘Cash cow’ adalah sumber tetap yang kena jaga, suburkan, kerana ia yang jadikan perniagaan kita boleh hidup. Prospek lain yang nampak potensi akan datang bolehlah disuburkan. Itu ‘Star’ , bintang harapan. Orang bijak tak bunuh dia punya cash cow kerana nak kejar bintang.

Orang melayu tahu pepatah ” yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran”.

Perjuangan adalah satu ‘perniagaan’ dalam memasarkan idealisme kita agar diterima oleh pasaran iaitulah rakyat.

Allah SWT juga menggunakan istilah perniagaan bagi kerja mujahadah menegakkan Islam di beberapa tempat dalam al-Quran. Ia disebut ‘perniagaan yang dapat menyelamatkan dari azab yang pedih’ dan ‘perniagaan yang tidak pernah rugi (sentiasa untung).

Itulah akidah orang Islam yg merupakan  lebih 60 peratus dari rakyat negara Malaysia kerana hukum beriman dengan setiap huruf dalam Quran adalah menjadi rukun kepada setiap yang beragama Islam.

Jika tidak percaya, tidak beriman, maka cacatlah Islamnya. Jika menentang dalam keadaan tahu, tidak jahil, maka tiada ulama baik dari parti manapun atau negara manapun akan menafikan gugurnya iman dan Islamnya.

Yang berbeza cuma tafsiran masing-masing apa yang dimaksudkan ‘berjuang Islam’ itu. Kaedah dan pendekatannya.

Allah memberitahu dengan jelas jika ada yang berselisih, kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ulama tentu sekali pada kedudukan menunjuk jalan sesuai maksud ‘warasatul anbiya’. Yang selisih ada forum, muzakarah yang sepatutnya boleh duduk sekali bincangkan secara ilmu.

Peduli apa musuh Islam yang memang berusaha keras  agar tiada titik penyatuan dalam kalangan umat Islam.

Parti-parti politik memasarkan idealisme perjuangan masing. Yang punya idealisme yang kuat, akan mempunyai ‘pelanggan yang setia’, ‘kesetiaan jenama.’

Perjuangan kerajaan yang bersih dan cekap, lawan rasuah, menegakkan keadilan, menentang pembaziran, mahu memajukan negara, mahu jadikan negara kaya.  Itu semua diperjuangkan semua parti politik. Ia idealisme universal. PAS bercakap perkara yang sama. Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Mesti jelas apa sebenar yang diperjuangkan. Baru setiap tindakan selaras. Tidak jadi hilang punca dan bagai lalang yang sekadar ikut arus popular yang belum tentu berlandaskan fakta atau kebenaran.  Baru jelas segmen pasaran mana yang jadi keutamaan, atau tadi kita sebut bread & butter.

PAS punya idealisme perjuangan yang sangat jelas iaitulah Islam. Segmen pasarannya yang utama adalah umat Islam yang lebih 60 peratus rakyat Malaysia. 60 peratus itu pula lebih 80 peratus adalah orang Melayu. Islam pula punya kedudukan yang tinggi dalam Perlembagaan Malaysia dan semua undang-undang peringkat negeri dan negara dan dilindungi Institusi Raja Berpelembagaan.

Adalah munasabah untuk PAS mempertegaskan kepentingan Islam dan Melayu, sesuai dengan positioning PAS dalam peta politik negara dalam masa yg sama mempertegaskan Islam yang dijunjung oleh PAS mewajibkan hubungan yang baik antara kaum, toleransi antara agama, keadilan dan semua jaminan kesejahteraan untuk penganut agama lain dan kaum lain.

DAP menjual idea Malaysian Malaysia yang matlamat akhir supaya semua kaum, semua agama punya hak yang sama. Ini bercanggah kontrak kemerdekaan yang dimanifestasikan dalam perlembagaan dalam bentuk jaminan keistimewaan tertentu kepada Islam dan orang melayu. DAP fokus kepada segmen kaum Cina.

Apa-apa tindakan, kenyataan dibuat oleh DAP adalah bertujuan memenangi sokongan terutamanya kaum Cina. Kerana itu adalah ‘bread n butter’ DAP. Orang Melayu hanya untuk cukupkan beberapa peratus lagi undi yg mereka perlukan supaya DAP boleh menang pilihan raya. Itu yang disebut Lim Kit Siang yang DAP mahu 15 peratus orang Melayu. Ini kelompok Melayu yang hilang jati diri Islam dan Melayunya. Kelompok yang keliru atau berkepentingan.

PKR ini apa idealismenya? Mereka meletakkan diri dalam kelompok orang Melayu, tetapi takut bercakap kepentingan Islam dan Melayu. Mereka biarkan pendirian pro-DAP menjadi persepsi dominan PKR melalui tindakan dan lidah pemimpin mereka sendiri. Apabila sudah dekat pilihan raya, mula mereka gelabah, orang Melayu tak bersama mereka.

PAN. Mereka berjuang apa sebenarnya? Dilihat sekadar balas dendam kepada PAS seperti ditulis pemimpin PAN sendiri Dr Dzulkifli Ahmad. “Kalau PAN tak boleh menang, PAS pun mesti tak boleh menang”. Ini roh insan yang berpotensi rugi di dunia dan rugi di akhirat.

Mereka yang beri laluan merebak pemikiran aliran sesat seperti liberalism, sekular – LGBT. Fokus mereka semata-mata ahli PAS. Mereka tidak dekati ahli dan penyokong Umno kerana konon mereka benci sangat kepada Umno hingga nak kempen pun ‘geli geleman’. Tindak tanduk dan kenyataan PAN lebih banyak nak ambil hati bukan Melayu, bukan Islam sekalipun mengguris hati umat Islam. Realitinya bread & butter PAN adalah bukan Islam. Merekapun seperti DAP, berharap mengutip beberapa peratus kelompok Melayu yang liberalis dan golongan tergelincir dalam PAS. Sama sahaja dengan bosnya DAP.

PPBM pula parti paling keliru. Mereka mahu undi ahli Umno, tapi mereka sekapal pula dengan DAP yang seluruh ahli Umno sentiasa diprogramkan DAP sebagai ‘bahaya besar’ untuk orang Melayu, orang Islam. – HARAKAHDAILY 4/9/2017