PH talian hayat Umno di Kelantan

BERTANDING di Kelantan dan kononnya mahu merampas Kelantan, itulah impian PAN dan Pakatan Harapan.

Advertisement

Impian PAN ini sangat disokong sekutunya dalam PH iaitu DAP dan Bersatu.

Nampak seperti tidak memberi kesan pendekatan ini, namun tidak harus dilupakan bahawa PAN dan PH boleh menjadi pembantu Umno dalam merampas kembali Kelantan.

Dalam erti kata lain,  PAN menjadi tongkat kepada Umno untuk meneruskan cita cita Umno sejak 25 tahun lalu merampas Kelantan.

Pengakuan Pengarah Pilihan Raya PAN sendiri yang menyebut andai berlaku tiga penjuru, maka PAS dan PAN tidak berpeluang untuk menang dan kelebihan berpihak kepada Umno.

Sedangkan PAN sebelum ini menuduh PAS menjadi talian hayat kepada Umno malah lebih dari itu sanggup memfitnah PAS bekerjasama dengan Umno walaupun hakikatnya mereka tahu PAS tidak akan bersama Umno.

Tatkala PKR retak menanti belah, dengan perbalahan Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohammad Azmin Ali,  maka fokus PH semakin kabur, malah tidak salah jika disebutkan bahawa kewujudan PH hanyalah semata membantu Umno terus berkuasa, dengan watak utama dimainkan Tun Mahathir Mohammad berjaya memecahbelahkan pembangkang.

Di samping keegoan dan kebiadapan DAP yang berterusan dengan agenda anti PAS kerana PAS membawa Islam sebagai dasar dan tawaran untuk mengubah sistem negara ini yang telah celaru dan nyata rosak akibat amalan politik kronisme, rasuah dan penyelewengan serta pemimpin Umno mengaut kekayaan hasil bumi Malaysia.

Bagi Tun Mahathir, biar pembangkang berpecah belah kerana yang harus dipertahankan adalah BN agar terus menyimpan rahsia kekayaan dan kerosakan selama beliau menerajui negara 22 tahun lamanya.

Walaupun kerajaan membuka pekung Skandal Forex membabitkan Mahathir dan Anwar Ibrahim yang telah disucikan dosanya oleh DAP namun andai Datuk Seri Najib Razak berjaya diundurkan daripada menerajui kerajaan, yakinlah bahawa Mahathir akan kembali menyertai Umno seperti yang beliau lakukan selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi terpelanting daripada kerajaan tahun 2009 hasil bidikan Mahathir.

Apa yang berlaku hari ini dengan sokongan dan dokongan kuat Mahathir bersama DAP mensasarkan Kelantan ditumbangkan walaupun Mahathir tahu PAN tiada kekuatan sementelahan hanya ada 1 peratus sokongan sahaja melalui kajian yang telah dibuat, maka amat mustahil PAN untuk menang di Kelantan mengalahkan PAS.

Sebaliknya kehadiran PAN dibantu PH di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini hanyalah sebagai menyahut strategi Mahathir yang licik untuk Umno merampas Kelantan apabila berlaku pertandingan tiga penjuru nanti.

Maka hasrat Anwar untuk melihat kononnya mahu memastikan pertandingan dua penjuru dengan katanya tidak mahu menyerang PAS hanyalah satu hasrat tertipu kerana Mahathir yang pernah menganiaya Anwar pada tahun 1998 telah berjaya mencorak dan mengawal rentak dalam PH bagi memporakperandakan pembangkang, sementara memburukkan imej PAS sesukanya dalam masa yang sama Mahathir sebenarnya berjaya memberi ruang besar untuk Umno berkuasa dan merampas Kelantan pada PRU14 ini.

Harus diakui, bahawa kehadiran PH melalui PAN di Kelantan hanya menjadi talian hayat kepada Umno membuka jalan merampas Kelantan.

Cuma rakyat Kelantan mungkin tidak sesekali akan tertipu dengan permainan ini kerana Kelantan umpama ‘universiti politik’ di Malaysia dengan rakyatnya telah hadam permainan sebegini.

Begitupun harus diawasi taktik Umno melalui Tun Mahathir ini untuk sekian kalinya merampas pentadbiran PAS melalui taktik licik mereka apatah lagi sejak 1990 lagi impian Mahathir rampas Kelantan diteruskan oleh pengikutnya termasuk Pak Lah dan Najib.

Apakah mungkin berlaku tiga penjuru? Atau sebaliknya, sama-sama kita nantikan. – HARAKAHDAILY 5/9/2017