Secara teknikal PAS ditendang

TIDAK mengejutkan sesiapa dan tidak mengecilkan hati PAS apabila Majlis Presiden Pakatan Harapan menolak kerjasama dengan PAS kerana PAS terkeluar daripada pakatan pembangkang itu.
      
Apabila Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat, PAS tidak pernah menyertainya kerana ia dibentuk secara teknikalnya adalah untuk mengeluarkan PAS daripada kumpulan pembangkang itu.
      
Orang nampak yang mengacau ialah PAS. Ia yang memutuskan tamat tahaluf siyasi dengan DAP. Tetapi secara teknikalnya sekutunya dalam bekerja menendang PAS daripadanya kerana PAS dirasakan dan dikatakan tidak bulat menerima DS Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
      
Ia dikatakan sedia mencari calon lain. Tetapi tiada keterangan PAS mahu meninggalkannya sehinggalah PAS dan matlamat pejuangannya dirasakan telah dihina oleh sekutunya.
       
Lama sebelum muktamar PAS memutuskan putus hubungan dengan DAP, telah diwujudkan apa yang dikatakan NGO, Pasma oleh orang-orang PAS yang  bersiap sedia bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ramai pimpinan penting PAS masa itu  ghairah menghadiri program penerangan NGO itu dan ikut menjayakan perjumpaannya.
      
Sekalipun PAS telah menyatakan sikap terhadap DAP tetapi ia mengekalkan hubungan dengan PKR sebagai keluarga dalam Pakatan Rakyat. Apakah Pakatan Rakyat boleh diselamatkan, dan boleh PAS duduk semeja lagi dengan DAP bergantung  kepada perkembangan.
      
Mungkin suara dari Sungai Buloh boleh mengubah keadaan.
      
Keputusan pemilihan Muktamar di Kuala Selangor dan memutuskan hubungan dengan DAP membuka retak dalam PAS jadi serpih. Retak sudah bemula sebelum muktamar itu dan dipercayai gara-gara calon perdana menteri yang mulai tidak sekata itu.
      
DAP dipercayai sudah bersedia lama dengan usul PAS itu dan bersedia menyokong mewujudkan ganti PAS dalam pakangan pembangkang yang lain.
     
Galakan DAPlah dipercayai yang menyediakan tapak menggantikan PAS lama sebelum PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan muncul kumpulan menggantikan NGO yang disediakan dijadikan parti baharu.
      
Kumpulan tertentu dalam PKR menyatakan sedia menyertai rombongan parti baharu itu dalam jelajahnya keseantero negara. Ia boleh dilihat sebagai isyarat ada antara mereka yang sudah bersedia mengenyahkan PAS daripada pakatan itu.
      
Bukan suatu yang mustahil gejala yang merancang penyingkiran PAS sama dengan apa yang PAS pernah hadapi semasa ia memutuskan untuk meninggalkan Barisan Nasional hujung tahun 70-an dulu.
     
Dr. Mahathir yang ketika jadi Timbalan Perdana Menteri merancang menentang PAS daripada kerajaan BN dengan teknik politiknya, menyebabkan PAS mengambil keputusan keluar daripada kerajaan BN sebelum ia ditendang. Dan langkah yang PAS buat memutuskan hubungan dengan DAP itu adalah persediaan sebelum ia ditendang bagi digantikan oleh parti yang disediakan bagi menggantikannya.
     
Mungkin Dr. Mahathir yang sudah keluar lagi dari Umno ada peranan menjauhkan PAS daripada Pakatan Rakyat dan kemudiannya jadi Pakatan Harapan.
     
Dr. Mahathir tidak susah untuk bersama semula dengan Anwar, tetapi dia mungkin berasa payah untuk bersama PAS. Dia boleh bersama DAP dan Anwar, tetapi tidak mungkin boleh bersama kedua-duanya jika PAS ada bersama DAP. Tiada parti yang disokong Cina selain daripada DAP.
     
Jika PAS dan DAP boleh dipisahkan, tiada masalah baginya untuk bersama DAP. Dan jika Najib boleh ditumpaskan, kalau Mahathir hendak kembali kepada Umno, dia boleh bawa DAP bagi menggantikan MCA, Gerakan dan BN.
     
Yang menghalang PAS kembali ke pangkuan Pakatan bukan DAP dan Mat Sabu saja, tetapi pemimpin de facto Mahathir di situ. – HARAKAHDAILY 5/9/2017

Advertisement