Bawang putih ganti angioplasti?

SEKALI baca tulisan yang menyebut bawang putih berkhasiat sehingga boleh menggantikan angioplasti, membuatkan saya terkejut. Mana mungkin bawang putih seperti ini boleh menggantikan rawatan angioplasti yang sudah digunakan di seluruh hospital yang merawat sakit jantung? Saya lagi terkejut jika ada orang yang percaya dengan petua sebegini. Mereka beralasan, bahawa sebelum penemuan teknologi angioplasti, bawang putihlah penyelamat. Jika demikian, kenapa rawatan angioplasti diwujudkan? Jika hanya bawang putih berkuasa ajaib menyembuhkan rawatan jantung tersumbat?

Advertisement

dr suhazeliSerangan jantung adalah penyakit tertinggi penyebab kematian. Satu daripada 4 orang dewasa mempunyai risiko serangan jantung. Sejenis penyakit yang digeruni. Malah serangan jantung ini adalah antara penyebab utama berlakunya kematian dalam negara kita. Puncanya adalah gaya hidup yang tidak sihat. Di mana kebanyakan pesakit yang mengalami serangan jantung ini adalah perokok, gemuk, tidak bersenam, mempunyai sakit darah tinggi dan kencing manis. Serangan jantung ini akibat dari kekurangan pengaliran darah ke dinding jantung itu sendiri. Pengaliran darah ke jantung secara umumnya terbahagi kepada 3 saluran utama. Jika mana-mana saluran ini tersumbat, jantung akan mengalami kesakitan. Semasa serangan jantung berlaku, doktor akan berusaha merawat agar darah berjalan lancar sama ada memberikan ubat pencair darah atau pembedahan membuka saluran tersumbat tadi. Jika saluran darah tersumbat itu serius, angioplasti wajib dilakukan atau pembedahan pintasan jantung (bypass) akan dilakukan. Di negara kita hanya hospital tertentu sahaja seperti IJN yang melakukan pembedahan pintasan jantung ini. Sehingga kini IJN yang dibina sejak 1992 itu telah merawat pelbagai jenis penyakit jantung melebihi 3.7 juta kes.

Bawang putih, suatu sayuran yang banyak khasiat terutama semasa memasak.[1] Tetapi ianya bukan rawatan utama bagi membuang sumbatan jantung.[2] Amat tidak kena jika menggantikan keputusan melakukan angioplasti atau pembedahan pintasan jantung semata-mata ingin mendapatkan khasiat bawang putih yang tidak terbukti. Sesuatu yang malang jika terdapat pesakit yang mempercayai khasiat bawang putih yang disebarkan itu. Jika mahu makan berlori pun bawang putih itu, silakan. Tetapi jangan sesekali lari dari realiti rawatan moden yang sudah tersedia maklum keberkesanannya.

Menyedihkan juga artikel tersebut disandarkan atas nama ustaz. Orang yang paling dihormati dalam strata penganut Islam. Entah benar atau tidak ustaz berkata demikian. Saya lihat fenomena menyandarkan sebaran sebegini atas nama tokoh tertentu boleh meruntuhkan institusi agama Islam itu sendiri. Mana mungkin Islam yang bersifat dinamik ini mempercayai fakta salah yang bertentangan dengan sains. Sedangkan Islam itu bersifat fakta tepat dan sains.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
5.9.2017
Kaherah, Mesir

Pautan
[1] Kisah Bawang dan kesihatan. http://suhazeli.com/wp/?p=2102
[2] Bawang putih, cuka epal rawat jantung? http://suhazeli.com/wp/?p=2226