Biar 2017 merdeka widak bagi Najib

PRU14 dipercayai diadakan sebelum sambutan kemerdekaan tahun 2018 atau tahun kemerdekaan yang ke 61. Biarlah sambutan kemerdekaan ke 60 yang masih disambut sekarang  jadi merdeka widak buat Perdana Menteri Najib kecuali pilihan raya tidak diadakan tahun hadapan.
      
Jika pilihan raya umum tidak diadakan sebelum hari kebangsaan ke 61, maka Najib jugalah yang memimpin sambutan kermerdekaan itu.
      
Dengan segala keperitan yang membebani rakyat dan negara dan kerja tungkus lumus pembangkang di luar dan dalam Pakatan Harapan, maka tidak patut lagi dilanjutkan mandat kuasa kepada Najib.
       
Jadilah segala tempang selewengan kerajaan 1Malaysia yang tidak membuatkan perpaduan itu berakhir pada PRU14 itu.
       
Tetapi janganlah kerajaan yang terlepas dari Najib dan Umno itu jatuh ke tangan pembangkang yang menganut  sistem yang sama. Yang galak merebut kuasa itu sekarang kumpulan pembangkang secara teknikalnya baru diambil alih oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin dari sistem yang sama dengan sistem yang dipimpin Najib sekarang.
       
Beza yang hendak digantikan itu ia mungkin tiada rasuah tetapi ia tetap lanjutan sistem yang  pilihan penjajah British yang disediakan sejak sebelum merdeka.
       
Pada dasarnya fatwa Lord Cromer, seorang pembesar Empayar British abad lampau tidak sedia sama sekali melepaskan tanah jajahannya kecuali wujud satu generasi di kalangan anak jajahan berotak dan berwawasan persis British.
      
Berikut piagam PBB yang datang kemudian menyarankan semua tuan penjajah memerdekakan jajahan takluknya, wujud pula generasi berwawasan barat itu, mula-mulanya Dato Onn Jaafar dan kemudian diambil alih Tunku Abdul Rahman Putra, maka cepat-cepat British melepaskan bendera sistemnya terpakai di Malaysia merdeka.
      
Kerajaan sistemnya terdedah kepada rasuah, keruntuhan akhlak, demokrasi tempelan serta penyelewengan, jadilah wilayah yang kaya hasil mahsul itu di ambang bangsat dan tempang siur. Jika sekadar berganti oang tetapi mengekalkan sistem, Malaysia terpaksa menunggu 60 tahun bagi mencapai merdeka penuh.
      
Merdeka penuh itu seperti yang Rasulullah SAW tegakkan di Mekah dalam Fathul Makkah, iaitu wilayah, penduduk dan kerajaan bebas jahiliyah.
      
Najib mengepalai merdeka yang bercampur baur ciri jahiliyah dan wasatiyah. Kopi gaulan jahiliyah dan wasatiyah adalah kopi dikacau garam, masin, menyakitkan tekak dan memuntahkan. Maka cukuplah 60 tahun itu memimpin kemerdekaan.
      
Sambutan kali ke 61 nanti mestilah digantikan dengan sistem yang menjanjikan budaya politik demokrasi matang dan sejahtera. Budaya itu bukan sekadar pilihan yang diberikan kepada pengundi dan rakyat awam, tetapi ia pilihan untuk semua agen perubahan dan parti-parti politik yang hendak menyertai PRU14.
      
Pembangkang yang hendak menggantikan kerajaan dengan sistem yang ada, wajar mengambil budaya matang dan sejahtera ketua perubahan kuasa dengan sistem baru dan saki baki sistem yang berkuasa pula mestilah sedia berada di bawah budaya matang dan sejahtera yang PAS ketengahkan.
      
Mungkin ia didengar seperti kartun, tetapi itulah pilihan yang ada dan disediakan bagi mengeluarkan negara dan masyarakat dari belenggu penindasan kerajaan Najib dan sistem tunggangannya. Siapa yag kata ia kartun, dia bersedia untuk dibelenggu lagi – 60 tahun atau 100 tahun lagi.
      
Peluang terbuka menjadikan sambutan merdeka ke 60 ini widak buat Najib. Lepas itu biarkanlah dia dengan 1MDBnya ke mana-mana yang dimahunya.
      
Dalam Islam tiada yang dikatakan putus asa. Seperti yang menjejek inilah saranan kartun. – HARAKAHDAILY 6/9/2017

Advertisement