Fight of Gods: Awas! Permainan video hina agama

ISU Permainan video “Fight of Gods” diilhamkan oleh permainan seperti “Street Fighter” dengan menonjolkan watak “Jesus” dan “Buddha” sebagai karakter utama seperti yang didedahkan dalam media sosial beberapa hari ini adalah sesuatu yang melampau dan menjengkelkan. Pemajunya, Digital Crafter dari Taiwan seakan mahu melaga-lagakan keharmonian agama dengan mencampur adukkan pelbagai dewa dan tuhan pelbagai agama termasuk Islam bagi membangkitkan kemarahan masyarakat.

Advertisement

Bagi penganut agama masing-masing, sudah tentu tidak boleh menerima kenyataan bahawa tuhan agama mereka dipermainkan atau diperlekehkan sedemikian rupa.  Tidak ada penganut agama yang menerima hakikat agama mereka dijadikan permainan video dan tuhan mereka dilakonkan untuk berlawan sama sendiri. Bahkan, Nabi Musa a.s. dan tokoh bersejarah Cina, Guan Gong, juga dimasukkan dalam permainan itu walaupun mereka bukan dikira sebagai Tuhan atau dewa.

Permainan video seperti ini mempunyai sasarannya tersendiri. Selain kanak-kanak, remaja dan belia adalah mangsanya. Tanpa mereka sedari, dalam keseronokan bermain permainan video ini, ia menanam sentimen kebencian terhadap agama dan menghasut agar membenci agama lain. Watak yang ditonjolkan adalah ‘dewa’ atau tuhan agama masing-masing sebagari karakter utama yang mendorong menjadi ikon pujaan kepada penggemarnya, sekaligus merendahkan martabat watak tersebut. Bagi umat Islam, watak seperti Nabi Musa a.s. yang mulia direndahkan menjadi karakter yang boleh diperlekehkan.

Apa untungnya permainan video seperti ini selain merosakkan minda dan pegangan agama seseorang. Seseorang boleh memandang rendah agamanya sendiri dan memandang hina agama lain. Selain budaya negatif seperti keganasan dan kejahatan, ia pasti melalaikan dan membuang masa. Tidak ada pelajaran yang boleh diambil dari permainan video seperti ini.  

Dalam pada kerajaan berusaha menangani pengganas, tanpa sedari keganasan dibenihkan dalam minda kanak-kanak dan remaja melalui permainan-permainan video. Budaya samseng, gangsterisme, kaki buli dan perlakukan jenayah mudah membarah berpunca dari pengaruh media sosial termasuk permainan video.

Malaysia adalah negara yang terkenal dengan negara pelbagai kelompok etnik, budaya dan agama. Perpaduan kaum terhasil dari sikap saling hormat menghormati, faham memahami, serta toleransi agama yang di amalkan. Budaya liar seperti permainan video ini adalah percikan api yang boleh menyemarakkan perpecahan dan pergaduhan kaum. Kita tidak mahu ada pihak yang menjadikan isu ini dengan mengambil kesempatan memusuhi kaum, bangsa atau agama lain.

Sudah ada banyak pihak yang menyatakan kemarahan termasuk dari pelbagai kelompok agama. Saya amat menyanjung tinggi masyarakat yang cepat prihatin dan peka dengan pelbagai situasi semasa sehingga cepat membangkitkan isu ini. Ia membuktikan bahawa masyarakat Malaysia tidak menerima budaya liar dan negatif dari sewenang-wenangnya menular ke dalam negara ini.

Justeru, kerajaan tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak segera mengawalnya dari dibawa masuk ke dalam negara. Jangan biarkan ketenteraman dan keamanan masyarakat dirosakkan oleh elemen negatif walau dalam apa juga bentuk, dari sekecil kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sempadan negara perlu dijaga sebaik mungkin dan rakyat Malaysia mampu bekerjasama menjadi benteng peneguh akidah, menjaga perpaduan kaum dan keharmonian agama yang selama ini utuh. – HARAKAHDAILY 7/9/2017

Penulis ialah Ahli jawatankuasa PAS Pusat