Usahlah lagi pertahankan fitnah

YANG jadi pecah belah PR, hasut bukan Islam dan segelintir Melayu marah pada PAS, adalah kerana perbuatan mereka-reka  fitnah UG dan Langkah Kajang.

Advertisement

Soal hudud, itu dari Fadhil Noor lagi PAS sudah bertegas. Tok Guru Nik Aziz pun sangat tegas.

Sekarang bila dah terdedah semua itu fitnah, kebencian mereka pada PAS ini sudah tidak ada dasar yang kukuh lagi melainkan semata-mata kedegilan mereka mempertahankan kepalsuan yang selama ini mereka sangkakan ‘perjuangan kebenaran, keadilan’.

PAS masih istiqomah dasar Islam yang sama. Berprinsip dan tidak jadi lalang.

Jika semua orang sudah tak mahu pertahankan dan tegakkan apa yang betul, PAS tetap akan pertahankan walau terpaksa hadapi detiknya bersendirian.

Kerana Allah bersama mereka yang sabar. Kerana pertolongan Allah sangat dekat – Wallahu maa’ssobiriiin. Nasrumminallahi wafathun qoriib.

Jika mereka berakal, adil, setelah segala yg terbongkar, tidakkah lebih terhormat dan menjadi teladan yang baik kepada anak-anak kita jika mereka mengambil langkah reconciliation, meletakkan kembali ke kedudukan yg sepatutnya.

Itu lebih menjernihkan.

Orang PAN yang sudah tersilap langkah lantaran termakan hasutan fitnah, betulkan diri dengan kembali kepada PAS, bantu tambah kuatkan PAS yang ternyata kini semakin mengatasi Umno dalam sokongan orang Melayu/ Islam.

Bukankah alasan kamu sebelum ini kerana kecewa dan bimbang PAS semakin lemah, konon kerana mahu PAS bertambah kuat kamu memberontak dalam PAS hingga kamu keluar?

Allah tunjukkan sebaliknya bila kamu keluar, pertahankan prinsip, PAS dari kuda tunggangan yang jadi budak suruhan semasa dalam PR, kini jadi rebutan dan boleh buat tidur malam kawan dan lawan penuh igauan.

Sebaliknya yang gigih nak lemahkan PAS adalah kamu. Tidakkah lebih bermanfaat kamu bantu tambah kuatkan PAS yang semakin tegap kini?

Bukan Islam sepatutnya sudah celik mata bahawa selama ini kamu dihasut oleh pemimpin DAP semata-mata atas dasar tuduhan dan cerita yg direka reka. Dengan segala pendedahan, apa yang terbongkar di mahkamah London dalam fitnah RM90 juta terhadap PAS yang kini gagal ditunjukkan walau secebis bukti, cerita sebenar sebalik langkah Kajang, pengakuan PKR memfitnah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saya percaya tiada agama yang menyuruh penganutnya berpihak kepada pemfitnah.

Fitnah itu lebih buruk dari membunuh. Negara boleh berperang angkara fitnah. Salah faham, ketegangan antara kaum boleh terjadi didorong oleh sikap mempertahankan fitnah.

Jika sudah salah, ambillah langkah penjernihan.

Orang yang hatinya jernih akan berbuat begitu. Orang yang hatinya hitam dan busuk, tetap juga mahu bergelumang dosa fitnah.

Masa akan mendedahkan kepada anak cucu kita suatu hari nanti sama ada orang Melayu, Cina, India, Islam, bukan Islam di Malaysia ini ramai yang berhati jernih atau berhati hitam dan busuk.

Negara kita dipimpin parti yang busuk hingga rosak seperti sekarang kerana lebih ramai rakyat yg memilih mereka dipeti undi walau tahu parti itu rasuah, zalim, boros.

Dalam keadaan tahu, tetap undi mereka tanda hati kebanyakan kita pun hitam dan busuk.

Selayaknya dihukum Allah dengan pelbagai bencana ekonomi, alam sekitar, kadar jenayah, pengangguran, cukai yang membebankan, barang yang semakin mahal, kerugian beratus billion ringgit.

Ini amaran Allah.  Jika kita tak ubah, kerosakan berlaku kerana tangan tangan kita manusia juga. – HARAKAHDAILY 8/9/2017