Isu Rohingya: Malaysia mesti main peranan lebih besar

SEJAK beberapa minggu lepas, tidak kurang daripada 164,000 orang Islam Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri mereka daripada kekejaman tentera junta Myanmar yang membakar kediaman dan kampung mereka serta melakukan pembunuhan besar-besaran.

Advertisement

nasrudinOperasi penghapusan etnik Rohingya di Arakan yang semakin meruncing mutakhir ini tidak sedikit pun mendapat simpati dan empati daripada Kerajaan Myanmar.

Bahkan, kerajaan negara itu bersikap sengaja membutakan mata mereka terhadap krisis kemanusiaan ini dan memekakkan telinga mereka terhadap kutukan dan kecaman yang disuarakan oleh komuniti antarabangsa.

PAS percaya bahawa Malaysia, selaku negara anggota ASEAN yang dihormati oleh negara-negara anggota yang lain, boleh dan mesti memainkan peranan yang lebih besar bagi menyelesaikan isu kemanusiaan yang melibatkan umat Islam ini.

PAS menggesa Kerajaan Malaysia agar:

i. Mengadakan satu Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu ini, justeru suatu pelan tindakan yang melibatkan pelbagai pihak dan sudut dapat dilulus dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

ii. Memberikan kata dua kepada Kerajaan Myanmar sama ada segera menamatkan penindasan ke atas Muslim Rohingya atau bersedia untuk menyambut kepulangan rakyat mereka yang kini berada negara ini.

iii. Menganjur Mesyuarat Tergempar negara-negara ummat Islam yang mengambil berat isu Rohingya seperti Turki, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lainnya supaya mewujudkan Pasukan Pengaman dan menghantarnya ke Mynmar.

PAS juga menyeru dan merayu seluruh umat Islam agar sentiasa memohon keselamatan dan kesejahteraan buat masyarakat Rohingya dengan memanjatkan doa Qunut Nazilah khususnya pada hari Jumaat yang mulia ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat / Ahli Parlimen Temerloh
18 Zulhijjah 1438 / 9 September 2017 – HARAKAHDAILY 9/9/2017