Perlombongan pasir silika tergendala?

PAS Terengganu mempersoalkan status projek perlombongan pasir silika di Bukit Senyamok, Rantau Abang, Dungun yang nampak seolah-olah terhenti operasinya.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sepatutnya projek tersebut dapat memberi manfaat yang besar kepada negeri dan rakyat tetapi nampaknya seperti tergendala.

“Projek tersebut berkeluasan 68.03 hektar itu dimulakan pada 10 Mac 2016 dan dijangka siap pada 9 Mac 2021 diuruskan oleh satu kontraktor Permint Granite Sdn Bhd.

“Yang menjadi persoalannya kenapa kerajaan tidak membina kilang bagi memproses silika di sini kerana sepatutnya silika ini diproses di sini ataupun di negeri Terengganu supaya kilang itu memberi peluang akhirnya kepada rakyat Terengganu untuk bekerja,” ujarnya ketika ditemui semasa meninjau sendiri projek tersebut, kelmarin.

Katanya, pasir silika yang bermutu tinggi itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan negeri Terengganu.

“Pasir-pasir silika ini merupakan hasil mahsul negeri Terengganu yang sepatutnya ia dapat memberikan manfaat yang besar buat penduduk negeri ‘penyu’ ini tapi nampaknya ia telah terhenti tanpa diketahui sebabnya,” kata beliau dipetik Buletin Online.

Justeru beliau menggesa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) agar bertanggungjawab dengan menjelaskan kedudukan sebenar projek perlombongan silika itu.

silika1