Tolak politik Firaun

FIRMAN Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 49 bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu dari (Firaun) dan pengikut-pengikutnya; mereka menimpakan kepadamu keseksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelih anak-anak kamu yang laki-laki dan membiarkan hidup anak-anak kamu yang perempuan. Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu.”

Advertisement

zulkiflismailFiraun mengasaskan politik penghapusan etnik bagi mengekalkan kekuasaannya. Demi mengekalkan kekuasaannya di satu peringkat Firaun telah membunuh seluruh bayi-bayi lelaki Bani Isra’il sehingga keturunan Bani Isra’il hampir terhapus sepenuhnya. Politik Firaun ini dipanggil dalam bahasa moden sebagai Politik Pogrom. Iaitu usaha mengekalkan kuasa melalui pembunuhan terancang terhadap kumpulan etnik atau agama yang dimusuhi.

Dalam sejarah moden, politik ini antara lainnya dilakukan terhadap etnik Yahudi di Rusia dan umat Islam di Bosnia dan Kosova. Hari ini ia dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar. Islam menentang politik zalim seperti ini dan mengambil tanggungjawab melindungi manusia dari politikus dan kerajaan yang mengamalkannya. Kerana kejinya perbuatan Firaun itu ia dilaknat oleh Allah dan diazab dengan sekeras-kerasnya. Tubuhnya dikekalkan untuk menjadi tatapan manusia sebagai peringatan tentang nasib para penzalim yang mengamalkan dasar politik seperti itu.

Ia adalah ajaran politik songsang yang telah diperingatkan oleh Islam mendahului seluruh ahli-ahli politik yang jujur. Ia adalah ajaran politik yang bertentangan sepenuhnya dengan nilai-nilai kemanusiaan. Ia tiada kaitan dengan mana-mana ajaran agama yang menjunjung nilai-nilai moral yang mulia. Seluruh umat manusia dari pelbagai latar belakang agama wajib memerangi ahli-ahli politik pogrom yang sebenarnya sedang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Justeru itu, Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka menyeru kepada seluruh ulamak dan asatizah dari pelbagai latar belakang kumpulan dan pemuka-pemuka pelbagai agama dalam negara ini serta rakyat seluruhnya agar membantu umat Islam Rohingya dan menyuarakan penolakan mereka dengan setegas-tegasnya terhadap kerajaan Myanmar dan politik pogrom atau politik Firaun yang mereka amalkan.

Sehubungan itu, satu program munajat kemuncak insya Allah akan dilaksanakan pada tarikh 28 Oktober 2017 (Sabtu) di Dewan Muallim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, Melaka.

Seluruh umat Islam dijemput hadir.

USTAZ ZULKIFLI ISMAIL MUHAMMAD
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka