Laporan polis terhadap Siti Kasim & David Orok

PARTI Islam Semalaysia (PAS) membuat suatu laporan polis terhadap Siti Kassim dan David Orok  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Advertisement

Ia bagi membolehkan satu siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas kedua-dua individu tersebut dilaksanakan.

Ini berikutan status Facebook (FB) dipercayai milik Siti Kassim pada 1 dan juga 10 September lalu yang telah membawa pelbagai tafsiran, pengertian menyimpang dan menyesatkan mengenai pengorbanan; merujuk kepada tindakan yang dilakukan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S.

Pada 5 September lalu satu lagi status yang mengelirukan oleh pemilik FB David Orok telah dimuat naik. Beliau telah menyatakan bahawa Nabi Ismail adalah anak luar nikah hasil dari tindakan Nabi Ibrahim meniduri Hajar yang memberi maksud bahawa Nabi Allah itu telah melakukan perbuatan zina.

Kesemua ini boleh ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan menentang serta mencabar Yang Di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam bagi Malaysia.

Selain itu ia juga bersifat ancaman serta menggugat ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 11/9/2017