Lagi laporan polis terhadap Siti Kasim, David Orok

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap peguam Siti Kasim dan David Orok di Ibu Pejabat Daerah Sentul, jam 11 pagi tadi.

Advertisement

Laporan yang dibuat ketuanya, Mohd Farkhan Md Zain, ekoran kebiadaban peguam Siti Kasim dan David Orok yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam, baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat di hadapan pegawai Nur Fatin Farhana Abd Mutalib dan turut disertai barisan exco Pemuda Wilayah Persekutuan.

Laporan polis itu diadakan oleh Dewan Pemuda PAS negeri-negeri bermula di Sabah semalam, dan serentak di seluruh negara hari ini.

Siti Kasim sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa bahawa al-Quran tidak pernah menyatakan mimpi Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya adalah dari Tuhan.

Kenyataan yang dimuatnaik dalam ucapan hari raya baru–baru ini jelas menunjukkan beliau sudah jauh terpesong dari akidah sebenar insan beragama Islam apabila mendesak umat Islam moden mempersoalkan amalan korban secara serius kerana perbuatan ini hanya membawa kepada pertumpahan darah secara sia-sia dan menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 12/9/2017